LION Air perlu menambah baik budaya keselamatan dan dokumentasi kerja baik pulih pesawatnya yang lebih baik, kata pihak berkuasa Indonesia dalam laporan awal nahas yang membunuh semua 189 penumpang dan anak kapal bulan lepas itu.
Pesawat Boeing 737 MAX hilang daripada radar kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober, terhempas di Laut Jawa tidak lama selepas juruterbang meminta kebenaran pulang ke Jakarta.
Agensi keselamatan pengangkutan masih belum dapat menentukan punca sebenar tragedi itu, dengan laporan akhir hanya akan dikeluarkan tahun depan.
Tetapi, penyiasat berkata Lion Air berulang kali menggunakan pesawat itu walaupun terdapat laporan gagal membaiki masalah dengan petunjuk kelajuan udara beberapa hari sebelum kemalangan maut itu.
Laporan juga mencadangkan yang juruterbang bergelut dengan sistem kemudi pesawat ketika mereka meminta permohonan kembali ke Jakarta.
Penemuan utama itu membangkitkan kebimbangan terdapat masalah dengan sistem utama pesawat terbaru dan tercanggih dunia itu.
Penyiasat sebelum ini berkata pesawat malang itu mempunyai masalah dengan petunjuk kelajuan udara dan pengesan sudut serangan (AOA), menyebabkan Boeing mengeluarkan notis khas kepada semua pengendali tentang langkah yang perlu dilakukan sekiranya masalah sama berulang.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Awam Indonesia sudah menemui salah satu kotak hitam pesawat- perakam data penerbangan- tetapi masih belum dapat mengesan perakam suara kokpit.
Data kota hitam menunjukkan pesawat itu mengeluarkan petunjuk kelajuan udara bermasalah dalam beberapa penerbangan sebelum ini, kata penyiasat.
Lion perlu bertindak “untuk meningkatkan budaya keselamatan dan membolehkan juruterbang membuat keputusan berwajaran untuk meneruskan penerbangan” kata agensi keselamatan, menambah yang syarikat itu juga perlu memastikan “semua dokumentasi operasi dilakukan dengan baik”.
Walaupun terdapat rekod meragukan tentang keselamatan dan perkhidmatannya, syarikat tambang murah Kumpulan Lion Group yang turut mengendalikan Batik Air dan Wings Air itu memegang separuh pasaran penerbangan dalam negara sejak 20 tahun lalu dan menjadi syarikat penerbangan terbesar Asia Tenggara.
Rekod keselamatan penerbangan Indonesia sudah bertambah baik sejak syarikat penerbangannya termasuklah Garuda dihalang masuk ruang udara AS dan Eropah kerana pelanggaran keselamatan, walaupun negara itu mencatat 40 nahas udara sejak 15 tahun lepas.
Tetapi, Boeing juga berdepan kecaman kerana kemungkinan wujud masalah teknikal dalam 737 MAX yang baru dipasarkan tahun lepas.
Beberapa ahli keluarga mangsa sudah memfailkan saman terhadap Boeing.
Penerbangan Lion Air JT610 terhempas ke laut tidak lama selepas berlepas untuk ke bandar Pangkal Pinang.
Pihak berkuasa berdepan tugas mencabar mengenal pasti mangsa nahas, hanya 125 penumpang berjaya dikenal pasti secara rasmi melalui cebisan mayat dikumpulkan dalam 200 beg. – AFP, 28 November, 2018.
Komen