AS desak PBB tangguh resolusi perang Yaman


Perang Yaman menyebabkan jutaan melarikan diri, kebuluru dan beratus ribu terbunuh, dianggap PBB krisis kemanusiaan terburuk sedang berlaku sekarang. – Gambar EPA, 28 November, 2018.

AMERIKA Syarikat semalam memberitahu Majlis Keselamatan PBB supaya draf resolusi mendesak gencatan senjata di Yaman perlu ditunda sementara menanti rundingan damai berlaku di Yaman pada awal Disember depan.

Britain membentangkan langkah tersebut minggu lepas ketika PBB meneruskan usaha diplomatik bagi menghentikan perang di Yaman.

Utusan PBB Marthin Griffiths berharap untuk membawa kerajaan Yaman disokong Arab Saudi dan pemberontak Huthi ke Sweden bagi melakukan rundingan yang boleh bermula seawal 3 Disember, menurut diplomat PBB.

Ketika rundingan PBB tentang draf resolusi dicadang Britain itu, duta AS ke PBB berkata “akan sangat penting untuk mengambil kira keputusan perbincangan di Stockholm yang akan menjadi kunci utama proses politik,” menurut email yang dilihat AFP.

Resolusi cadangan itu- yang pertama dibincangkan majlis tentang Yaman sejak 2015- secara signifikan akan mewujudkan tekanan ke atas pakatan diketuai Saudi dan Huthis disokong Iran untuk mencari jalan perdamaian.

Draf resolusi itu menggesa gencatan senjata serta merta di bandar pelabuhan Hodeida, pintu masuk utama bantuan kemanusiaan ke Yaman, dan menetapkan dua minggu tempoh masa untuk kedua-dua pihak bertelagah menghapuskan semua halangan bantuan kemanusiaan.

Rundingan draf itu bermula minggu lepas dan tiada pengundian dijadualkan dilakukan Majlis Keselamatan.

AS yang menyokong pakatan tentera kerajaan bulan lepas membuat panggilan mengejutkan mendesak gencatan senjata dan menyokong usaha PBB mengadakan rundingan damai.

Arab Saudi berdepan tekanan untuk menghentikan perang di Yaman susulan pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi.

Perang itu menyebabkan jutaan penduduk kebuluran dan PBB menyifatkannya krisis kemanusiaan terburuk berlaku sekarang.

Walaupun desakan dunia memuncak, Presiden Donald Trump minggu lepas berikrar terus menyokong Arab Saudi, mewujudkan sekatan ke atas rundingan resolusi Yaman dilakukan PBB.

Diplomat PBB berkata mereka tidak menjangka akan mengundi minggu ini kerana AS enggan mendesak pakatan Arab Saudi.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang berdepan kecaman antarabangsa kerana pembunuhan Khashoggi dan perang di Yaman dijangka menyertai pemimpin dunia di Sidang Kemuncak G20 di Argentina minggu ini. – AFP, 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen