SATU bahagian tangga Menara Eiffel di Paris dijual hampir 170,000 euro semalam, umum jurulelong, hampir tiga kali ganda daripada jangkaan asal.
Lebih dua belas keping tangga besi daripada strutur tangga berputar asal antara tingkat dua dan tiga bangunan terkenal Paris itu, dijual kepada seorang pengumpul Timur Tengah dengan harga 169,000 euro (RM800,000) selepas perang bidaan berlaku di Perancis.
Rumah lelong Artcurial pada mulanya menjangkakan harga jualan sekitar 40,000 hingga 60,000 euro.
Tangga itu dengan ketinggian 4.3 meter adalah sebahagian koleksi peribadi warga Kanada yang bertarikh 1889 ketika jurutera lagenda Perancis, Gustave Eiffel membina 324 meter binaan yang jadi tumpuan di Pameran Sejagat Paris.
Ia kemudian jadi binaan unggul di Paris dan monument paling banyak dilawati walaupun wujud gesaan meruntuhkannya beberapa tahun selepas pameran.
Ia adalah binaan tertinggi ketiga Perancis dan adalah bangunan tertinggu dunia selama 41 tahun sehinggalah pembinaan bangunan Chrsyler di New York pada 1930.
Tangga itu dipindahkan daripada menara pada 1983 untuk pembinaan lif dan dipotong kepada 24 bahagian, antara dua hingga sembilan meter setiap satu.
Beberapa dibeli muzium atau menjadi instalasi seni di seluruh dunia.
Artcurial turut menjual satu lagi bahagian tangga sebanyak 14 anak tangga dengan nilai 523,800 euro kepada seorang pembeli Asia pada 2016. – AFP, 28 November, 2018.
Komen