PENERBANGAN dibatal, perkhidmatan keretapi ditutup dan pemandu kenderaan tersadai di jalan dipenuhi air, ketika hujan setara dengan jumlah hujan sebulan turun di Sydney awal hari ini, menyebabkan perkhidmatan kecemasan bergelut memenuhi panggilan kecemasan penduduk.
Hujan lebat dan ribut melanda bandar terbesar Australia itu, Biro Metereologi melaporkan yang lebih 106 milimeter hujan turun di tempat sama selama beberapa jam.
Bandar itu biasanya hanya mendapat sekitar 84 milimeter hujan sebulan pada November.
Seorang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya disebabkan ribut dan dua anggota polis cedera selepas jatuh pokok ketika misi menyelamat.
Perkhidmatan kecemasan berkata mereka menjalankan 12 misi menyelamat pada awal pagi ini kerana banjir.
“Keadaan yang kami jangka hari ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku dan saya merayu kepada semua orang, pemandu kenderaan dan pejalan kaki untuk berhati-hati,” kata Pembantu Pesuruhjaya Polis Michael Corby.
Polis menggesa penduduk berhati-hati dan tidak memandu kenderaan ke dalam hujan yang dipenuhi air, berkata “punca utama kematian ketika banjir adalah apabila orang memasuki air banjir. Cari laluan alternatif dan elak perjalanan tidak perlu.”
Pembekal tenaga melaporkan sekurang-kurangnya 6,600 terputus bekalan elektrik.
Di lapangan terbang utama bandar pula, pelbagai penerbangan dibatalkan atau ditunda kerana pesawat tidak dibenarkan terbang kerana hujan lebat dan ribut kuat.
Hujan dijangka terus turun sepanjang hari dan amaran banjir sudah dikeluarkan kepada beberapa batang sungai kecil di seluruh bandar.
Australia sering berdepan cuaca melampau, dengan banjir kilar, ribut pasir dan kemarau.
Sementara itu, di Queensland pula cuaca kering menyebabkan kebakaran hutan menyebabkan puluhan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka. – AFP, 28 November, 2018.
Komen