KEPUTUSAN untuk membuat rayuan atau tidak berhubung petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 DUN Rantau akan dibuat esok, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat berkata beliau akan membuat pengumuman tersebut di Seremban, sehari sebelum tempoh rayuan 14 hari tamat.
“Saya akan umum pagi Khamis di Seremban,” katanya ringkas ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan tanpa bertanding bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak sah dan terbatal, dan memerintahkan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Rantau diadakan serta merta.
Dalam keputusannya, Hakim Azimah Omar berkata pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan itu telah bertindak tanpa etika dan integriti apabila menyekat calon PKR, Dr S Streram daripada mengemukakan kertas pencalonannya.
Bagaimanapun mahkamah tidak memberi perakuan kepada keputusan tersebut sehingga tamat tempoh 14 hari pada 30 November untuk mana-mana pihak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau hanya akan diadakan jika tiada rayuan dibuat terhadap keputusan mahkamah tersebut.
Mohamad sebelum ini berkata tidak akan merayu keputusan mahkamah tersebut sekiranya jentera Umno sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil.
“Saya kena lihat dan pertimbangkan baik buruk, perlu merayu atau tidak. Ada 14 hari untuk fikir. Tidak perlu tergesa-gesa.
“Tetapi jika jentera parti semua sudah bersedia, tidak payah kita buat rayuan. Kita masuk gelanggang terus,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga meminta Mohamad supaya mempertimbangkan untuk tidak membuat rayuan kerana Rantau merupakan kubu kuat Umno.
Mohamad menyandang kerusi DUN Rantau sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004. Beliau menang kali pertama mengalahkan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.
Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRU12 dan PRU13, dua kali mengalahkan calon PKR, Aishah Lamsah masing-masing dengan majoriti 4,613 dan 3,783 undi. – 28 November, 2018.
Komen