PAS mengkaji semula penyertaan dalam perhimpunan 8 Disember kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini dalam perhimpunan berhubung bantahan ke atas Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan penyertaan itu dibincangkan semula dengan mengambil kira isu rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya yang kini menyebabkan ketegangan kaum.
Beliau berkata PAS akan mengadakan mesyuarat malam ini membincangkan semula kedudukannya.
“Presiden panggil mesyuarat khas. Kita hendak bincang tengok keadaan macam mana.
“Jadi tiada pandangan atau pendirian apa-apa daripada PAS ketika ini. Segalanya akan diputuskan (malam ini),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Satu lagi parti pembangkang, Umno pula mengumumkan untuk mengikut keputusan penganjur sama ada meneruskan atau tidak rapat umum yang awalnya diberi nama Himpunan Bantah ICERD.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata perhimpunan itu perlu berjalan secara aman dan selari dengan kehendak Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kalau penganjuran itu berjalan, kita bersetuju beri sokongan, itu saja. Kita akan ikut apa yang penganjur atur.
“Mengikut pemahaman kita, perhimpunan itu mesti mengikut peraturan… sebab itu kita minta penganjur berunding dengan polis, bekerjasama dengan keselamatan. Ini perhimpunan bukan hendak buat huru-hara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Penganjur perhimpunan itu, Gerakan Pembela Ummah bagaimanapun menyatakan perhimpunan itu akan diteruskan kerana tidak kena-mengena dengan apa dengan kes rusuhan di Subang Jaya.
“Kuil ini tidak ada kena-mengena dengan ICERD atau siapa-siapa. Itu antara pemaju dan pihak pengurusan kuil,” kata Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya.
“Jadi saya tidak nampak kenapa kita harus tangguhkan (kerana ada isu kuil Hindu). Kalau ada pihak yang hendak sabotaj, kita tidak mahu layan. Kita hendak berzikir dan berselawat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Himpunan (8 Disember) kita akan teruskan sebab bukan hendak buat rusuhan; kita hendak buat kesyukuran raikan kejayaan.”
Siri rusuhan di Subang Jaya, Selangor berhubung isu tanah sebuah kuil Hindu berusia 147 tahun itu menyebabkan 28 ditahan dan lapan cedera setakat ini.
Individu yang cedera itu termasuk seorang anggota bomba yang cedera parah akibat diserang perusuh.

Lebih 20 kereta dan beberapa motosikal dibakar dalam kekacauan dua malam itu.
Mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas 16 individu bagi membantu siasatan berhubung jenayah khianat dengan api, merusuh, khianat dan ceroboh jenayah.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kekacauan dua malam itu perbuatan jenayah yang tiada kaitan dengan isu perkauman atau agama, biarpun ia melibatkan isu perpindahan kuil Hindu.
Keadaan tegang lebih 48 jam itu mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan kewajaran perhimpunan 8 Disember ini diteruskan.
Bantahan ke atas ICERD itu tetap diadakan walau kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD dan sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. – 28 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Z Azmyl · Ulasan