JOHN Bolton, penasihat keselamatan negara di White House semalam berkata beliau tidak akan mendengar pita rakaman pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi, kerana tidak memahami bahasa Arab.
Pita yang mengerikan itu – bukti utama pembunuhan yang didakwa oleh AS diarahkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman – diedarkan oleh Turki selepas Khashoggi dibunuh di dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.
Bagaimanapun, Bolton memberitahu wartawan bahawa tidak ada gunanya beliau mendengar pita itu kerana tidak memahami bahasanya.
“Saya fikir saya patut tanya kamu kenapa kamu fikir saya patut mendengarnya, apa yang kamu rasa saya akan temui daripadanya,” katanya.
Ketika ditanya kenapa tidak mahu mendengarnya dengan bantuan penterjemah, jawabnya: “Saya boleh baca transkrip.”
Keengganan Bolton mendengar rakaman itu mencerminkan pandangan Presiden Donald Trump bahawa tidak perlu untuknya mendengar bukti berkenaan.
Selepas laporan media menyatakan CIA menuding jari ke arah Putera Mohammed, Trump mengeluarkan kenyataan bahawa hubungan AS-Arab Saudi dan kestabilan pasaran minyak terlalu penting untuk digoyahkan dengan skandal itu.
Selepas berulang kali menafikan tahu tentang kehilangan Khashoggi, Arab Saudi akhirnya mengakui wartawan berusia 59 tahun itu dibunuh dalam satu operasi “ganas”. – AFP, 28 November, 2018.
Komen