TUJUH lagi individu ditahan awal pagi tadi di kawasan kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya.
Seramai enam lelaki daripada sekumpulan kira-kira 60 penunggang motosikal ditahan pada kira-kira jam 1.10 pagi selepas mengingkari arahan polis untuk bersurai.
Kumpulan lelaki berusia antara 18 hingga 55 tahun itu berhimpun di seberang lebuh raya lapan di hadapan kuil itu sejak jam 11 malam.
Mereka mendakwa berada di situ untuk membantah insiden rusuhan yang berlaku di kawasan itu sejak dua hari lalu, yang menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah akibat dipukul pada Isnin.
Seorang lagi yang ditahan adalah lelaki yang enggan mengikut arahan polis untuk memberi laluan kepada pasukan keselamatan yang membuat kawalan di luar kuil tersebut.
Tindakan individu berkenaan difahamkan menyebabkan dua orang anggota polis trafik terjatuh semasa membuat kawalan.
Kawasan berkenaan dikawal polis dengan kekuatan 1,400 orang termasuk dari pasukan anti rusuhan Unit Simpanan Persekutuan.
Sekatan jalan raya di depan kuil tersebut dibuka pada jam 3.30 pagi.
Individu yang ditahan dalam kejadian berhubung rusuhan dan kekacauan di kawasan sekitar berkenaan kini berjumlah 28 orang.
Pada pagi Isnin lalu, serama 21 orang ditahan dari sekumpulan 50 lelaki bertopeng dan bersenjata yang merempuh masuk dan menyerang penganut di kawasan kuil.
Kejadian itu menyebabkan tujuh cedera, termasuk seorang anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan, dan beberapa kenderaan turut dibakar.
Kekecohan tercetus lagi pada Selasa, apabila kira-kira 1,000 orang merusuh dan bertindak liar dan membakar kenderaan orang awal di kawasan berhampiran kawasan kuil.
Sebuah kenderaan bomba yang datang untuk memadam kenderaan juga didakwa diserang, mengakibatkan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah.
Sikap polis yang berhati-hati dalam menangani rusuhan di kuil Hindu itu mendapat kecaman menteri, P Waythamoorthy yang antara lain menyifatkan pasukan tersebut lambat bertindak.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mempertahankan tindakan polis yang tidak bertindak kasar ke atas perusuh dalam kejadian Isnin malam itu.
Beliau berkata kejadian pergaduhan itu juga berpunca daripada perusuhan yang datang dari tempat lain dan bukannya melibatkan orang Melayu menentang orang India. – 28 November, 2018.
Komen