SELEPAS berbulan di meja lelongan, proses penjualan kapal mewah Equanimity akan ditutup hari ini, dengan ramai yang teruja menanti siapa pembida tertingginya.
Mahkamah Tinggi Malaya akan membuka tawaran tertutup yang dihantar oleh pembeli berpotensi yang berkelayakan dan mengumumkan pemilik baharu kapal itu.
Bagaimanapun, tidak diketahui bila ia akan dibuat.
Bakal pembeli perlu meletakkan deposit AS$1 juta (RM4 juta) sebelum layak membuat bidaan.
“Esok hari terakhir lelongan,” kata Sitpah Selvaratnam, peguam perkapalan yang dilantik khas untuk Pejabat Peguam Negara.
“Pengumuman siapa pembida yang menang akan dibuat oleh sherif,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sitpah berkata hanya sherif yang tahu jumlah bidaan dibuat untuk kapal layar itu.
Sherif juga yang memegang nota penilaian tertutup yang menetapkan nilai diluluskan untuk kapal itu. Kerajaan dijangka mempertimbangkan pilihan jualan lain jika bidaan lebih rendah daripada nota berkenaan.
Kapal layar sepanjang 91.5m dengan kelengkapan mewah ditetapkan untuk jualan pada 27 Oktober, selepas Malaysia mengambilnya dari Indonesia di mana kapal itu disita sebagai sebahagian operasi pemulihan aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung duit yang dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Kapal itu milik ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jhow atau dikenali sebagai Jho Low, yang membelinya pada harga AS$250 juta menggunakan wang berkaitan 1MDB pada 2014.
Low juga dituduh menjadi dalang di sebalik skandal 1MDB dan didakwa di Malaysia tanpa kehadirannya, atas pertuduhan penggubahan wang haram dan didakwa di AS kerana merasuah pegawai asing.
Pembidaan dibenarkan bulan lalu oleh Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur (mahkamah tinggi) yang mengisytiharkan bahaa kerajaan dan 1MDB ialah pemilik benefisiari dan kerajaan bebas untuk menjual kapal itu.
Sitpah menjangkakan “tiada isu” yang akan timbul berhubung pemilikan berikutnya untuk kapal itu.
Ejen jualan, broker kapal layar Burgess berkata di laman webnya bahawa jualan penghakiman itu akan menyediakan pembeli dengan “sijil pemilikan bebas yang diiktiraf secara antarabangsa, lampiran dan semua yang berkaitan”.
Wang daripada penjualan kapal itu, yang dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) itu akan diletakkan dalam akaun amanah deposit tetap, kata Peguam Negara Tommy Thomas pada Ogos.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkat kerajaan berhasrat untuk menjual kapal itu secepat mungkin, memetik kos penyelenggaraan bulanan mencecah RM3 juta.
Dibina oleh syarikat pembinaan kapal Oceano yang berpangkalan di Belanda, Equanimity ialah kapal layar ke-54 terbesar di dunia dengan berat 2,998 tan.
Kelengkapannya yang mewah termasuk marmar, kolam renang, spa kecantikan dan sauna.
Equanimity pernah menang di pertunjukan kapal layar terbaik di Monaco pada 2014 dan dihantar kepada Low, pada Jun tahun ang sama.
Kapal itu boleh memuatkan 26 tetamu dan 28 anak kapal.
Putrajaya pada Jun mengeluarkan waran tangkap terhadap Low, yang didakwa menyeleweng berbilion ringgit daripada 1MDB. – 28 November, 2018.
Komen