Kami tidak boleh kawal orang ramai di luar, kata AJK kuil


Noel Achariam

Anggota FRU berkawal di luar kawasan kuil Sri Maha Mariamman Seafield selepas berlakunya insiden keganasan di situ sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 November, 2018.

POLIS sepatutnya mengawal orang ramai di luar Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk mengelak berlakunya keganasan, kata satu kumpulan yang mendakwa ia hanya boleh menjaga penganut di dalam kawasan kuil.

Sebelum itu, Pasukan Petugas Khas Selamatkan Kuil Seafield menyebarkan mesej kepada masyarakat India di seluruh negara untuk datang dan menyokong perjuangan mereka selepas kuil itu diserang kerana didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah untuk berpindah ke lokasi lain.

Ahli jawatankuasa pasukan itu Elangovan Annamalai memberitahu The Malaysian Insight malam tadi bahawa mereka tidak boleh mengawal orang ramai yang datang.

“Kami bertanggungjawab atas keselamatan penganut di dalam kuil. Kami tidak boleh bertanggungjawab bagi mereka yang berkumpul di luar kuil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Itu tugas polis. Mereka juga ada kira-kira 150 anggota FRU di luar. Mereka sepatutnya kawal orang ramai.”

Ribuan orang datang ke kuil itu pada malam Isnin untuk menunjukkan sokongan kepada jawatankuasa kuil, yang berdepan masalah undang-undang dengan pemaju One City Development Sdn Bhd.

Orang ramai memenuhi kawasan kuil selepas jawatankuasa kuil itu menyebarkan mesej kepada masyarakat India di seluruh negara untuk datang dan menyokong perjuangan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 28 November, 2018.

Elangovan berkata pasukan petugas khas itu pada awalnya menghalang beberapa orang pergi ke MCT Towwer selepas mendengar beberapa ucapan.

“Saya beritahu jika mereka ke sana, maka mereka pun sama seperti gengster (yang menyerang kuil),” kata Elangovan.

Katanya, beliau juga memberitahu khalayak itu jika mereka ke MCT Tower dan tertangkap, kuil tidak ada wang untuk menjamin mereka.

“Saya juga beritahu mereka kami sibuk dengan isu kuil, jadi mereka tidak boleh buat masalah lain kepada kami,” katanya dan menambah mereka dapat mengawal orang ramai yang datang.

Elangovan mendakwa beliau tidak tahu apa-apa tentang insiden vandalisme di MCT Tower yang berlaku kemudiannya.

Ramai penganut Hindu datang ke kuil berusia 147 tahun itu untuk menunjukkan sokongan kepada jawatankuasa kuil, yang berdepan masalah undang-undang dengan pemaju. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2018.

Setiausaha pasukan petugas khas itu V.K. Reju mengakui mereka menghubungi ramai masyarakat India di seluruh negara, dan itu sebabnya kenapa ramai yang datang pada malam Isnin, selepas mengetahui tentang serangan berkenaan.

“Tapi kita tidak minta mereka mengamuk. Kami tidak dapat kawal apa yang berlaku di luar kawasan kuil,” kata Reju.

“Polis kena bertanggungjawab untuk itu. Mereka tidak buat kerja, sebab itu ramai orang luar datang.

“Jika polis lindungi kami, maka semua ini tidak akan berlaku.

“Jadi kenapa kami yang perlu bertanggungjawab? Susah untuk kawal khalayak yang ramai. Kebanyakan yang datang, secara sukarela.” – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen