Mampukah media sosial ganti ceramah untuk tarik undi


Sheridan Mahavera

Penganalisis media sosial berkata “likes” dan “followers” di akaun Facebook parti politik hanya mencerminkan minat dan jumlahnya tidak menterjemahkan sokongan undi sebenar. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2017.

PERKHIDMATAN seperti Facebook Live banyak membantu parti politik mendapat perhatian lebih ramai orang, melangkaui kaedah tradisional mengadakan ceramah yang semakin berkurangan akibat peningkatan kos perjalanan dan pencapaian Internet kini bertambah bagus.

Pada zaman ini, penonton di Facebook Live kadangkala lebih ramai berbanding khalayak yang datang secara fizikal di program ceramah.

“Orang muda tidak datang ceramah. Tetapi bukan mereka saja. Sekarang tua dan muda tonton FB Live dari rumah saja dan boleh berinteraksi menerusi komen,” kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar.

Penganjuran program ceramah secara konvensional memerlukan kos tinggi, berbanding penggunaan media sosial seperti Facebook Live yang memudahkan mesej disampaikan dengan cepat dan kerap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

Pemimpin seperti Pengerusi Amanah Selangor Abbas Azmi menggunakan media sosial sebagai laluan untuk memenangi pilihan raya.

Mereka percaya parti keseluruhannya berpeluang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika ia mampu mencapai 60% pengundi sasaran sama ada menerusi Facebook, Twitter atau Instagram.

Tetapi ketika parti seperti Amanah, PAS dan malah Umno juga menambah sumber untuk berkempen menerusi media sosial, persoalan timbul sejauh mana keberkesanan alat itu untuk mendapatkan undi.

Di negara seperti Malaysia, ia membenarkan parti pembangkang dan kumpulan persatuan sivil untuk bertanding menentang gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN).

Tetapi pengarang Erica Chenoweth berkata sosial mungkin tidak dapat menjadi padang yang sama rata apabila autokrat dan parti lebih besar turut menggunakannya untuk menekan perbezaan pendapat.

Online lawan offline

Abbas dan pasukannya melihat trend golongan belia bertukar daripada politik secara berdepan ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Mei 2016.

“Dalam kaji selidik secara berdepan yang kami lakukan bersama 300 belia, hanya seorang atau dua mahu memberi kerjasama dengan kami, sementara yang lain tidak mahu,” kata Abbas kepada The Malaysian Insight.

Tetapi bila mereka menggunakan media sosial untuk mencari pengundi muda dari kawasan parlimen itu, Pemuda Amanah Selangor mendapati mereka bersedia dan sanggup berkongsi pandangan.

Setakat ini, laman Facebook Pemuda Amanah mempunyai 12,248 likes dan 12,359 pengikut.

Pesaing mereka, Pemuda PAS dan Pemuda Umno turut melakukan perkara sama.

Helmi Khalid, veteran Pemuda PAS Kedah berkata media sosial mengambil alih ceramah sebagai cara utama berkomunikasi dengan penyokong dan pengundi berpotensi.

Walaupun PAS akan terus mengadakan ceramah, acara seperti itu semakin kurang mendapat tempat berbanding 10 tahun lalu, kata Helmi yang juga bekas pegawai khas bekas menteri besar Kedah dan pesuruhjaya PAS Azizan Abdul Razak.

“Media sosial lebih murah berbanding ceramah. Dan kami dapat sampaikan mesej dengan lebih cepat dan kerap. Ia juga membolehkan kami memberi respons cepat kepada pengkritik,” kata Helmi kepada The Malaysian Insight.

Walaupun BN mengawal media tradisional seperti televisyen, radio dan akhbar, tetapi tidak terhadap media sosial.

Laman Facebook “Friends of Barisan Nasional” mempunyai 2.344 juta likes dan 2.303 juta pengikut. Sebagai perbandingan, laman “Pakatan Harapan Supporters” ada 194,377 likes dan 191,134 pengikut.

Laman FB rasmi PAS ada 476,641 likes dan 473,186 pengikut.

“Pemuda Umno memang selalunya fokus kepada kedua-duanya media sosial dan program fizikal,” kata Ketua Biro Media Sosial Pemuda Umno Ibdillah Ishak.

“Kita perlu selaras dengan zaman. Seperti Ray Ponter kata kaedah komunikasi di media sosial lebih dinamik dan responsif berbanding media konvensional.”

Tetapi fokus kepada pertemuan secara fizikal dengan orang awam masih ada seperti menerusi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Pemuda Umno, Parlimen Belia dan Sukarelawan Belia BN, kata Ibdillah.

Tetapi sama seperti khalayak yang datang ke ceramah, jumlah pengikut atau likes di laman FB parti politik tidak mencerminkan angka undi yang akan diperoleh.

Politweet, badan pemikir khusus dalam analisis media sosial berkata “likes” dan “followers” hanya mencerminkan minat.

“Tetapi kita tidak tahu dengan tepat kesannya terhadap pengundi. Untuk tahu bagaimana berkesannya media sosial dalam mendapatkan undi, ia memerlukan kaji selidik menerusi telefon,” kata Ahmed Kamal dari Politweet menerusi emel.

“Penggunaan media sosial yang tinggi tidak diterjemahkan kepada lebih cenderung pada PH atau BN. Sudah tentu jika orang tidak berminat dengan sesebuah parti ia bukan petanda yang baik, dan parti pembangkang berada di belakang BN di FB sejak November 2013.”

Ahmed berkata berbanding dengan BN, pembangkang kelihatan lebih berdikari dengan pengguna secara sukarela menyebarkan mesejnya, sementara BN mempunyai kumpulan lebih tersusun yang mengikut skrip.

Kadangkala khalayak yang menonton secara langsung di Facebook lebih ramai berbanding mereka yang hadir secara fizikal di program ceramah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2017.

Tetapi apa yang media sosial mampu membantu ialah dengan caranya membalas propaganda berunsur perkauman dan agama, kata Hisomuddin.

Umno dalam BN sebelum ini menggunakan mesej khas untuk Melayu Muslim bagi memastikan kumpulan pengundi penting itu tidak menyokong parti seperti DAP dan PKR.

“Dengan media sosial, parti pembangkang boleh bertindak hampir serta-merta untuk membalas kenyataan perkauman yang menghasut, tidak seperti dulu ketika kita tidak ada Internet,” kata Hisommuddin.

Di akhirnya, media sosial hanya alat komunikasi dan parti politik hanya boleh dapat menggunakan kelebihan itu secara berkesan jika mesej mereka cukup meyakinkan dan konsisten.

Walaupun pembangkang pandai menggunakan media sosial untuk mengkritik BN, Umno juga turut sama agresif membalas serangan.

“Saya tidak ambil ringan cabaran ini (perang di media sosial),” kata Ibdillah.

“Kami perlu meyakinkan pengundi untuk sokong BN kerana pencapaiannya sudah terbukti, tidak seperti pembangkang yang masih belum menamakan calon perdana menteri pun.”

Ahmed berkata masalah dengan pembangkang ialah ia sering menyebarkan kritikan terhadap Perdana Menteri Najib Razak tetapi masih belum mampu menunjukkan yang mereka alternatif berdaya maju. – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen