TIADA pihak dari kuil Sri Maha Mariamman yang terlibat dalam rusuhan sehingga menyebabkan kecederaan serius anggota bomba fireman Muhammad Adib Mohd Kassim, kata akvitis kuil itu S. Ramaji.
Pengerusi Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple itu berkata penganut kuil itu menyokong penuh polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan tugas mereka.
“Terpulang pada polis untuk menyiasat dan membongkar kebenaran,” katanya kepada pemberita di lobi Pusat Perubatan Subang Jaya petang tadi.
Beliau dan ahli kuil melawat Muhammad Adib yang dirawat secara rapi dan menggunakan alat bantuan pernafasan selepas diserang sekumpulan perusuh di kuil itu awal pagi hari ini.
Ramji berkata ahli kuil tidak mengetahui dalang yang bertanggungjawab dan serangan itu mungkin dilakukan individu yang mahu memberi imej buruk kepada kuil.
Ramaji turut menekankan keganasan yang berlaku tidak perlu dikaitkan dengan isu perkauman.
Kumpulan Ramaji itu tidak dapat bertemu Muhammad Adib tetapi mereka mendoakan agar anggota bomba itu kembali sembuh.
“Kita tidak tahu siapa terlibat (dalam serangan itu) tetapi kita tetap menziarahi mangsa,” katanya.
Muhammad Adib, 24, ditarik keluar dari kenderaan bomba dan diserang oleh perusuh ketika cuba memadamkan kebakaran di luar kuil itu.
Kumpulan perusuh itu berkumpul di kuil berkenaan malam tadi dengan tujuan melindunginya sebelum merosakkan sebahagian bangunan MCT di kawasan berhampiran.
Bangunan itu menempatkan pejabat syarikat pemaju yang merupakan pemilik tanah kuil itu. – 27 November, 2018.
Komen