Mahkamah Bangladesh larang bekas PM bertanding pilihan raya


Khaleda Zia, yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara. – Gambar fail EPA, 27 November, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Bangladesh hari ini menolak rayuan agar membenarkan seorang tahanan yang dipenjara lebih dua tahun bertanding dalam pilihan raya, lapor agensi berita Xinhua.

Hakim Mohammad Nazrul Islam Talukder dan KM Hafizul Alam menolak rayuan bagi membenarkan bekas perdana menteri Khaleda Zia dan lima pemimpin pembangkang dari Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) untuk bertanding.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara Mahbubey Alam kepada wartawan, sejurus selepas mahkamah memutuskan Zia, yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada Februari “tidak layak” bertanding dalam pilihan raya dijadual pada 30 Disember.

Jurucakap BNP tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Gabungan perikatan pembangkang diketuai Zia dari BNP sebelum ini mengumumkan akan bertanding pada pemilihan parlimen dijadual bulan depan.

Setiausaha Agung BNP, Mirza Fakhrul Islam Alamgir mendesak kerajaan memastikan pilihan raya diadakan dengan bebas, telus dan adil. 

Parti pemerintah Bangladesh Liga Awami (AL) dipimpin Perdana Menteri Sheikh Hasina menang pada pilihan raya 2009 dan 2014 bakal dicabar Zia dan sekutunya, yang memboikot pilihan raya 2014 .

BNP menuntut pembebasan segera semua tahanan politik, termasuk pengerusi BNP. – Bernama, 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen