Isu 1MDB tiada kaitan dengan Umno, kata Tajuddin


Zaim Ibrahim

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman kini dilihat cuba menjarakkan Umno dengan bekas presiden parti itu Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

Skandal yang sedang dihadapi bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa tidak mempunyai kaitan dengan Umno, kata Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, walaupun terdapat beberapa pihak cuba mengaitkan skandal tersebut dengan Umno, ia adalah tidak tepat.

“Siapa pelakunya? Ia bukan Umno, ia adalah pihak pengurusan dan lembaga pengarah (1MDB).

“Orang cuba mengaitkannya tetapi ia adalah (perkara) berasingan. Najib adalah Najib, Jho Low adalah Jho Low dan Umno adalah Umno,” kata beliau ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini. 

Mengambil contoh era pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tajuddin berkata Umno kekal utuh walaupun ketika itu dibelenggu pelbagai isu.

“Ketika zaman Tun Mahathir (sebagai Presiden Umno) pun banyak masalah tapi parti masih berjalan. Masalah-masalah itu tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional pada waktu itu,” tambah beliau.

Keyakinan itu diluahkan oleh beliau kerana berpendapat, Umno sebagai kerajaan sebelum ini mempunyai rekod yang baik dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.

“Anda semua (media) berdiri di sini kerana Umno. Siapa membina universiti? Siapa membina sekolah, jalan raya? Itu semua daripada kerajaan,” tambah beliau.

Sebelum ini, Tajuddin mendedahkan beliau pernah menegur Najib Razak mengenai isu 1MDB kerana beranggapan isu itu akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan pada waktu itu.

“Saya sudah rasa dari dua tahun lalu..apa yang berlaku dengan 1MDB adalah penipuan besar dilakukan oleh Jho Low dan lembaga pengarah 1MDB.

“Saya sebagai pemimpin parti dan ahli Majlis Tertinggi, rasa bertanggungjawab untuk beritahu Najib. Saya gesa dia ambil tindakan terhadap pengurusan 1MDB,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan hari ini berkaitan skandal 1MDB, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin berkata beliau tidak mengetahui laporan audit akhir 1MDB telah dipinda ketika diserahkan kepadanya.

Ambrin merupakan Ketua Audit Negara ketika itu yang dinamakan antara pegawai kanan kerajaan menerima arahan Njib untuk mengubah laporan itu sebelum dibentangkan kepada PAC.

Antara pindaan yang dibuat termasuk memadam perenggan yang berkaitan status kewangan 1MDB dan perenggan berhubung kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada penyediaan laporan akhir berkenaan.

Pendedahan ini dibuat oleh Ketua Audit Negara baharu Dr Madinah Mohamad yang menggantikan Ambrin.

Ambrin dijadualkan bertemu dengan PAC sebelum siasatan 1MDB pada 29 Oktober lalu tetapi pengerusi jawatankuasa itu, Ronald Kiandee membatalkan sesi pertemuan itu kerana siasatan ditangguhkan atas nasihat Pejabat Peguam Negara.

Siasatan dijadualkan bersambung tiga selama tiga hari bermula 4 Disember selepas disarankan oleh Pejabat Peguam Negara.  – 27 November, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen