DUA menteri kabinet memberi jaminan kepada para penganut di Seafield Sri Maha Mariamman bahawa tempat ibadat itu tidak akan dirobohkan sehingga isu tanah berkaitannya diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran memberi jaminan tersebut selepas pertemuan dua jam dengan jawatankuasa Pasukan Petugas Selamatkan Kuil Seafield hari ini.
Waytha Moorthy berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad untuk menyelesaikan isu itu.
“Saya mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir pagi ini dan beliau bimbang tentang isu ini.
“Kula dan saya akan membawa perkara ini kepada Dr Mahathir sekali lagi dan kuil ini tidak akan dirobohkan sehingga perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat hari ini.
Kedua-dua jaminan Menteri Kabinet itu diumumkan selepas satu malam yang menyaksikan tindakan ganas di sekitar kuil pagi ini sehingga mengakibatkan seorang anggota bomba mengalami kecederaan kritikal di samping kerosakan pejabat pemaju hartanah One City Development Sdn Bhd.
Keganasan meletus pada hari Isnin selepas kira-kira 50 orang lelaki bertopeng menyerbu rumah ibadat yang berusia 147 tahun tersebut dan menghalau penganut yang berada di kawasan kuil untuk keluar.
Kenderaan-kenderaan juga turut dibakar, dan sesetengah penganut dijadikan tebusan sehingga polis tiba. Kekecohan berlaku ketika para penganut yang berada di kawasan itu cuba mengusir pencerobohan itu.
Wathya Moorthy juga berkata beliau akan meminta exco Selangor V. Ganabatirau untuk membincangkan isu tersebut dengan Menteri Besar Amiruddin Shaari.

“Saya juga akan berbincang dengan Peguam Negara mengenai cara kekalkan kuil ini.
“Saya gesa rakyat supaya bersabar dan biar polis kendalikan perkara ini.”
Waytha Moorty juga menyeru semua rakyat Malaysia untuk berdoa bagi mereka yang cedera termasuk bomba yang berada dalam keadaan kritikal.
“Saya juga meminta kuil untuk berdoa khas untuk mangsa.
“Janganlah kita api-apikan sebarang sentimen perkauman. Kita hidup dengan aman selama 61 tahun.”
Sementara itu, Kulasegaran berkata mereka akan bertemu Dr Mahathir dengan segera untuk menangani isu itu.
“Ini bukan kali pertama kita hadapi kesukaran berurusan dengan masalah kuil. Terdapat 100 kuil di Malaysia yang perlukan penyelesaian (masalah),” katanya. – 27 November, 2018.
MENYUSUL
Komen