Kem-kem PKR Sabah cadang pengerusi baharu kepada Anwar tidak lama lagi


Jason Santos

Kedudukan Christina Liew dalam barisan kepimpinan PKR Sabah kini kabur apabila, calon dari kem Azmin Ali mendakwa mempunyai sokongan signifikan bagi menerajui kepimpinan baharu negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

KEDUA-dua kem PKR Sabah masing-masing mendakwa mereka mempunyai cukup ahli untuk membentuk majlis kepimpinan parti negeri.

Satu kumpulan, Pasukan Reformasi yang menyokong Rafizi Ramli dalam pemilihan parti baru-baru ini, berkata mereka memperoleh sokongan 16 ketua cabang, cukup untuk mengekalkan penyandang jawatan itu Christina Liew.

Kumpulan lain yang menyokong timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali, mengatakan mahu Ketua PKR Tawau Kong Hon Ming mengganti Christina dan mengatakan memiliki sekurang-kurangnya sokongan 15 cabang.

PKR Sabah mempunyai 26 cabang.

Liew ketika dihubungi berkata beliau tidak akan berbuat apa-apa terhadap mereka yang menyokong Kong.

“Ya, saya sedar mereka mengadakan pertemuan pada Sabtu lepas. Saya tidak dijemput.

“Tetapi saya tidak akan melakukan apa-apa, saya tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa atau terganggu oleh tindakan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber dari kumpulan Liew berkata ini kerana beliau berada dalam kedudukan selesa untuk dicalonkan semula sebagai pengerusi PKR negeri, ekoran sokongan 16 ketua bahagian.

Kegelisahan mengenai kepimpinan parti di peringkat negeri semakin bertambah, memandangkan pemilihan PKR telah berakhir namun ahli-ahli parti itu di Sabah tidak jelas mengenai siapa yang akan mengemudi parti di negeri itu sekarang.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa banyak ketua bahagian mahu Liew keluar dari kepimpinan negeri setelah beliau kehilangan keyakinan ahli-ahli negeri itu.

Kedudukan pengerusi negeri adalah melalui pelantikan presiden parti, dan proses itu melibatkan kesemua 26 ketua cabang yang akan memilih nama calon bagi jawatan itu.

Liew berkata beliau akan menunggu Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengumumkan pengerusi negeri baharu.

Kelompok saingan yang diketuai ketua PKR Kudat, Rahimah Majid yang menyokong Azmin, mendakwa beliau mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 15 ketua bahagian yang mahu Liew melepaskan jawatan beliau dan diganti oleh Kong.

Rahimah baru-baru ini memanggil mesyuarat untuk memilih pengerusi baharu PKR Sabah dan berkata mereka yang menyokong Kong termasuk ketua cabang daripada kem Reformasi yang diketuai Liew.

“Mereka tahu beliau tidak melakukan apa-apa untuk bantu ketua-ketua bahagian dan mereka juga menyokong cadangan kami (Kong),” kata Rahimah di samping menambah bahawa mereka tidak lama lagi akan mencadangkan nama Kong kepada Anwar setibanya beliau daripada lawatan luar negara. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen