BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin berkata pihaknya menganggap laporan audit ketua audit negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah laporan asal tanpa dipinda.
Hasan berkata PAC ketika itu tidak mengetahui berlaku pindaan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.
“Kita tak tahu (ada pindaan atau tidak). Kita anggap apa yang dibentangkan itulah laporannya.
“Saya tidak tahu-menahu. Apa yang Tan Sri Ambrin (buang) cakap (nafi ubah laporan), itulah. Apa yang Tan Sri Ambrin bawa ke PAC, itulah laporannya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Ambrin merupakan Ketua Audit Negara ketika itu yang dinamakan antara pegawai kanan kerajaan menerima arahan daripada bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengubah laporan itu sebelum dibentangkan kepada PAC.
Antara pindaan yang dibuat termasuk memadam perenggan yang berkaitan status kewangan 1MDB dan perenggan berhubung kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada penyediaan laporan akhir berkenaan.
Pendedahan ini dibuat oleh Ketua Audit Negara baharu Dr Madinah Mohamad yang menggantikan Ambrin.
Hasan berkata Ambrin juga menafikan terdapatnya pindaan dalam laporan itu.
“Lagipun Ambrin sudah menafikan pindaan dan kita ambil perkara yang sebenar sahajalah .
“Bagi saya apa yang dibawa dan dibentang oleh Ambrin dalam mesyuarat PAC, itulah laporannya,” katanya.
Pada 30 Oktober, Ambrin menafikan bahawa laporan itu telah dipinda seperti yang didawak Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh.
Ambrin sepatutnya bertemu dengan PAC sebelum siasatan 1MDB dimulakan pada 29 Oktober tetapi pengerusi jawatankuasa itu, Ronald Kiandee membatalkan sesi peretmuan itu.
Ronald berkata siasatan ditangguhkan atas nasihat Pejabat Peguam Negara yang mengemukakan dakwaan terhadap Najib berhubung skandal 1MDB.
Siasatan dijadualkan bersambung tiga selama tiga hari bermula 4 Disember selepas disarankan oleh Pejabat Peguam Negara. – 27 November, 2018
Komen