AHMAD Zahid Hamidi mengingatkan P. Waytha Moorthy agar tidak menyalahguna kedudukannya dan mencetuskan provokasi terhadap agama lain ekoran insiden rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya.
Tanpa menyebut nama Waytha, Ahmad Zahid dipercayai memberi peringatan itu Menteri di Jabatan Pedana Menteri itu yang mengeluarkan kenyataan bagi pihak Putrajaya berhubung isu tersebut.
Waytha memegang portrolio sebagai Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.
Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata tiada pihak perlu menjadi ‘wira’ kepada sesuatu agama dan semua pihak perlu mematuhi perundangan sedia ada.
“Dalam mendepani isu besar seperti ini, jangan ada mana-mana pihak yang mahu berlagak sebagai wira kepada sesuatu agama kerana ia hanya akan mewujudkan provokasi kepada agama lain.
“Begitu, juga portfolio dipegang untuk perpaduan tapi jangan kedudukan ini dijadikan suatu tempat menunjukkan provokasi kepada penganut agama lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, satu lagi kekecohan tercetus di Kuil Maha Mariamman di Seafield, di USJ-25.
Di Parlimen, Waytha dalam sidang media menyalahkan polis kerana lambat bertindak menghalang penceroboh.
Katanya polis tiba di lokasi kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan daripada orang awam apabila pencerobohan kuil berlaku pukul 2.40 pagi.
Zahid berkata pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan atas perkara tersebut.
“Sensitiviti keagamaan jangan letak pada sesuatu kaum sahaja, apatah lagi letakkan tanggungjawab kesalahan penguatkuasaan pada PDRM,” katanya. – 27 November, 2018.
Komen