Bomba tidak berundur hadapi ketegangan di kuil, kata Zuraida


Zaim Ibrahim

Sebuah kenderaan dibakar dan diterbalikkan dalam rusuhan yang meletus sekali lagi awal hari ini di kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

PASUKAN bomba dan penyelamat akan terus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan kekacauan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya walaupun anggotanya diserang awal pagi tadi, kata menteri Zuraida Kamaruddin.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, pihaknya kecewa atas apa yang berlaku awal hari ini namun ia tidak mematahkan semangat Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan tugas.

“Mereka akan tetap jalankan tugas seperti biasa cuma saya mengharapkan semua pihak harus lebih berhemah dan bertamadun dalam menangani masalah ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Zuraida berkata anggota bomba yang tercedera itu juga tidak kritikal dan sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Rusuhan meletus sekali lagi awal hari ini melibatkan perusuh yang berhimpun di kawasan sekitar kuil berkenaan.

Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan.

Mereka yang berkumpul itu juga bertindak ganas membakar kereta yang diletakkan berdekatan kuil itu.

Laporan BH mengatakan, mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Jurucakap bomba Selangor dipetik berkata, Adib berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Serangan itu juga mengakibatkan jentera bomba pada bahagian pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah di cucuk objek tajam selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera yang kemek dipercayai dihentak dengan objek keras.

Mengulas lanjut perkara itu, Zuraida kecewa kerana tindakan itu tidak menghargai pengorbanan anggota bomba.

“Perusuh itu ambil tindakan sendiri dengan pukul anggota bomba.

“Bomba amat diperlukan dalam apa-apa situasi kecemasan (contohnya) ular, terjun bangunan, banjir dan kebakaran. Ini semua kerja bomba yang kurang pengiktirafan,” katanya.

Sehubungan itu, Zuraida menggesa isu pemindahan kuil itu diselesaikan dengan berhemah kerana ia telah berlanjutan untuk tempoh yang panjang.

“Sepatutnya harus diselesaikan lebih awal lagi dengan pihak terlibat. Harus ada rundingan meja bulat dan panggil untuk cari jalan penyelesaian.

“Sebab isu itu tertunggak lama sampai terjadi insiden semalam yang tidak sepadan dengan imej rakyat Malaysia,” katanya. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen