Polis mohon perintah reman 21 suspek kes serangan kuil


Noel Achariam

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini berkata polis akan memohon perintah reman untuk menahan 21 suspek bagi siasatan lanjut kes serangan di kuil Sri Maha Mariamman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

POLIS menahan 21 suspek dipercayai terbabit dalam serangan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, awal pagi semalam, dalam insiden yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor pihaknya menahan 19 suspek semalam dan dua lagi pagi tadi.

“Dua ditahan di kawasan sekitar kuil. Kami juga menemui parang dalam sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Mazlan berkata suspek disiasat kerana merusuh dengan senjata dan polis akan memohon perintah reman untuk menahan mereka bagi siasatan lanjut.

Susulan serangan di kuil itu semalam, ribuan orang datang ke situ untuk menunjukkan sokongan kepada jawatankuasa kuil di mana kini berdepan masalah undang-undang dengan pemaju One City Development Sdn Bhd.

Awal pagi ini, sekumpulan lelaki melakukan vandalisme di depan MCT Tower di Subang Jaya, Selangor di mana pejabat One City Development berada.

Mazlan berkata semua suspek lelaki itu akan didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata ketika rusuhan itu.

Sekumpulan lelaki bertopeng menyerang kuil berusia 147 tahun itu seawal jam 2 pagi semalam dan menakutkan penganut yang sedang bersembahyang.

Ada penganut yang diugut dengan pisau sehingga polis sampai dan kekecohan tercetus antara penceroboh dan penganut yang cuba menghalau mereka.

Mazlan berkata mereka juga sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam insiden vandalisme di MCT Tower pagi tadi.

“Kami sedang kenal pasti dan akan menahan mereka. Kami juga berharap orang awam tampil jika ada maklumat.”

Ketika ditanya adakah polis mempunyai maklumat tentang dalang kejadian itu, Mazlan berkata mereka tidak boleh mendedahkan siapa tetapi akan memberikan maklumat tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini 23 kereta dibakar di kuil itu.

“Kami akan mengalihkan kenderaan itu secepat mungkin supaya tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.”

Katanya, orang awam juga diminta jangan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan suasana tegang.

“Kami akan terus memantau situasi di situ setiap hari dan pada masa ini keadaannya terkawal,” katanya. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen