BEKAS pegawai kempen Presiden Donald Trump yang mencetuskan siasatan susulan kaitannya dengan Rusia berhubung campur tangan pada pilihan raya presiden 2016 memulakan hukuman penjara dua minggu kerana menipu Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
George Papadopoulos memasuki unit keselamatan minimum Oxford, penjara persekutuan Wisconsin lebih setahun selepas mengaku bersalah dalam salah satu kes pertama yang dibawa oleh Peguam Khas Robert Mueller, kata Biro Penjara.
Beliau ialah individu kedua dihukum penjara dalam siasatan diketuai Mueller, selepas Alex Van Der Zwaan, peguam dari London yang dipenjara 30 hari kerana menipu mengenai kerjanya dengan pengerusi kempen Trump pada 2016, Paul Manafort.
Sementara itu, Manafort berdepan hukuman penjara lebih sedekad apabila dijatuhi hukuman Februari lalu di atas pelbagai tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan melobi secara haram.
Papadopoulos ialah penganalisis industri minyak yang diragui ketika menyertai pasukan penasihat dasar luar kempen Trump pada Mac 2016.
Berpangkalan di London, beliau berhubung dengan seseorang dipercayai pegawai Rusia dan pegawai yang ada kaitan dengan negara itu, dan menerusinya menawarkan pertemuan antara calon Trump dengan Presiden Vladimir Putin.
Profesor Joseph Mifsud yang penuh misteri, juga memberitahu Papadopoulos bahawa Moscow main kotor dengan pencabar Trump, iaitu calon Democrat, Hillary Clinton.
Papadopoulos yang mabuk dengan diplomat Austria kemudian menyalurkan maklumat itu kepada saluran perisikan, membawa kepada FBI membuka siasatan mengenai hubungan antara kempen Trump dan Rusia.
Emel dan keterangan saksi lain menunjukkan Papadopoulos berulang kali melaporkan hubungan dan pertemuannya dengan Rusia kepada kempen Trump, menimbulkan kesangsian ada konspirasi.
Seminggu selepas Trump mengambil alih jawatan pada Januari 2017, FBI menyoal siasat Papadopoulos. – AFP, 27 November, 2018.
Komen