Rumah transit KL bantu gelandangan berdikari


Noel Achariam

Rumah transit gelandangan KL beroperasi 24 jam di Jalan Pahang itu dapat menempatkan sehingga 200 orang pada satu masa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Disember, 2018.

AHMAD Daniel Al Hafiz berasal dari Sarawak membayangkan potensi masa depannya yang cerah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada 2009, tetapi hidup menjanjikan sesuatu yang lain apabila selepas tamat pengajian, dia tidak dapat kerja dan jadi gelandangan.

Ahmad berkata beberapa kejadian membabitkan isu peribadi menjadikan dirinya patah semangat, dan membawanya berkeliaran di jalanan di Kuala Lumpur pada waktu siang dan tidur di Terminal Bersepadu Selatan Kuala Lumpur (TBS) bila malam.

“Saya akhirnya di sini kerana pokai. Saya tidak dapat cari kerja jadi saya makan apa yang dapat dari pengendali gerai di terminal itu. Ada yang beri makanan dan ada yang beri duit untuk kerja yang saya buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas kira-kira tiga bulan, pihak berkuasa memaksanya keluar dari TBS. Beliau sangat kecewa tetapi pada masa itu seorang pendakwah menasihatinya supaya mendapatkan bantuan di rumah transit di Jalan Pahang, untuk gelandangan.

“Dia perkenalkan saya kepada rumah transit di Jalan Pahang. Di situ kehidupan saya berubah,” kata Ahmad.

Ahmad Daniel Al Hafiz yang pernah menjadi gelandangan kini sudah bekerja, membeli rumah dan akan berkahwin tahun depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Disember, 2018.

Rumah itu membantu menyediakan sokongan emosi kepadanya, dan kemudian memadankannya dengan majikan.

Ahmad kini bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan akan berkahwin tahun depan. Beliau juga sudah membeli sebuah pangsapuri di Sentul.

Kisahnya itu hanya satu daripada lebih 1,000 kes dikendalikan oleh rumah di Jalan Pahang, yang membantu kira-kira 2,000 orang di jalanan di Kuala Lumpur.

Pegawai eksekutif rumah transit itu, Amirrudin Abdul Rahman berkata pusat itu ditubuhkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dua tahun lalu bagi memulihkan gelandangan dan membantu mereka kembali ke dalam masyarakat.

Amirrudin berkata kebanyakan gelandangan yang datang ke rumah itu dirujuk oleh organisasi bukan kerajaan (NGO), atau datang ke situ selepas diarahkan berbuat demikian.

“Tidak ada orang yang mahu berada di jalanan seumur hidup. Lebih mudah membantu mereka yang ingin dibantu dan mencari jalan keluar dari jalanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kes mencabar

Amirruddin berkata di sebalik kejayaan puas itu, ada sesetengah gelandangan yang sukar dipulihkan, contohnya penagih dadah dan mereka yang ada masalah sikap.

“Mereka pesalah berulang. Kami sangat tegas dengan isu dadah di sini.

“Mereka bersih untuk beberapa bulan dan kemudian kembali ke perangai lama. Sukar untuk mereka mengawal rasa ketagih.”

Rumah yang beroperasi 24 jam di sudut pusingan besar di Jalan Pahang itu dapat menempatkan sehingga 200 orang pada satu masa. Gelandangan dibenarkan tinggal sehingga sebulan, di mana sepanjang tempoh itu mereka sepatutnya sudah dapat kerja atau pindah ke rumah.

Bagaimanapun, pengurusan boleh menggunakan budi bicara untuk melanjutkan tempoh mereka tinggal di situ mengikut keadaan dan keperluan.

“Ada kes yang kami benarkan mereka tinggal lebih lama tetapi biasanya kami cuba mengembalikan mereka ke dalam masyarakat secepat mungkin,” katanya, menambah pusat itu pada masa ini didiami oleh 149 orang dari Selangor dan pinggir bandar.

Pusat itu menyediakan 200 katil, 10 tandas dan surau. Mereka juga disediakan makanan dan barangan kebersihan peribadi.

Rumah transit itu juga menyediakan khidmat kaunseling dan program padanan kerja, dengan syarikat seperti Job Street dan NGO yang mencari pekerja sering datang untuk mendapatkan calon sesuai untuk perniagaan mereka.

Pegawai eksekutif rumah transit, Amirrudin Abdul Rahman berkata pusat itu ditubuhkan oleh DBKL, dua tahun lalu bagi memulihkan gelandangan dan membantu mereka kembali ke dalam masyarakat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Disember, 2018.

Amirrudin berkata ada beberapa faktor yang menjadikan seseorang itu bertukar kepada gelandangan.

“Paling biasa ialah mereka hilang kerja, lari dari rumah atau penagih dadah,” katanya.

Pusat itu turut menerima 10% hingga 15% gelandangan dari Sabah dan Sarawak yang diperdaya oleh ejen yang menjanjikan kerja di bandar.

“Kami terima mereka ke pusat itu kira-kira tiga kali tahun ini. Ejen janjikan kerja tetapi tinggalkan mereka sebaik saja tiba di sini. Ada 30 orang seperti itu tahun ini yang kami terima,” katanya.

Rumah itu turut menerima kes seperti penderaan seksual, wanita hamil atau melarikan diri, dan mereka akan dirujuk ke pusat transit dan pemulihan lain yang sesuai untuk wanita.

“Kami jaga mereka untuk sehari dua dan kemudian rujuk mereka ke agensi berkaitan yang boleh membantu mereka.”

Amirruddin berkata pusat itu terbuka kepada semua dan mengalu-alukan NGO untuk merujuk gelandangan ke situ bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen