Ibu bapa, guru sokong mansuh kelas campur


Nabihah Hamid

Mulai tahun depan, peperiksaan Tahap 1 bagi murid Tahun 1, 2 dan 3 dimansuhkan dan diganti dengan pentaksiran alternatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2018.

APABILA penggal sekolah dibuka Januari depan, Nurulazila Ismail yakin anaknya yang sekarang duduk di kelas corot akan lebih berjaya selepas tiada lagi pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik – kelas pandai, kelas corot.

Ibu anak enam ini, yang gembira dengan pendekatan itu, yakin keadaan anaknya di sekolah bakal berubah kerana akan bergaul dan bersaing dengan murid lain yang lebih cemerlang.

“Sebagai ibu kita tak nak lihat anak kita ketinggalan. Kalau berada di kelas paling lemah seolah-olah didiskriminasikan. Jika masuk kelas campur, saya yakin pergaulan lebih sihat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Daripada enam anak, dua anak Nurul duduk di kelas tercorot, tiga di kelas pertengahan dan seorang cemerlang. Pada pandangan Nurul, anak yang duduk di kelas cemerlang lebih bermotivasi untuk belajar.

“Budak-budak hendak belajar pun didorong dengan pengaruh kawan juga. Kalau kawannya rajin, dia pasti ikut rajin juga,” katanya yang tinggal di Gombak, Selangor.

Bermula sesi persekolahan Januari tahun depan, Kementerian Pendidikan menetapkan tiada lagi pengasingan kelas cemerlang dan kelas corot mengikut penguasaan akademik murid.

Mulai tahun depan juga, peperiksaan Tahap 1 bagi murid Tahun 1, 2 dan 3 dimansuhkan dan diganti dengan pentaksiran alternatif.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin berkata arahan tersebut dikeluarkan bagi mengelakkan jurang kepandaian antara pelajar di sekolah, lapor Berita Harian.

Sependapat dengan Nurul, seorang ibu yang juga pensyarah Dr Kharmila Abdullah berkata pengasingan kelas masih terpakai untuk peringkat sekolah menengah kerana pelajarnya bakal menghadapi peperiksaan umum.

“Bagi saya untuk pendidikan awal (sekolah rendah) tidak perlu pengasingan untuk anak-anak bergaul. Ajar mereka saling bantu-membantu.

“Kalau dah nak ada peperiksaan umum maka kena bagi tumpuan dan boleh asingkan.  Tetapi sepatutnya asingkan yang masih di bawah tahap penguasaan minimum. Yang pandai-pandai dan pertengahan boleh campur,” katanya.

Pensyarah Dr Kharmila Abdullah berkata pengasingan kelas masih terpakai untuk peringkat sekolah menengah kerana pelajarnya bakal menghadapi peperiksaan umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

Tambahnya, pengalaman dua tahun membantu sekolah untuk mengajar kelas tambahan mendapati ibu bapa berasa kecil hati apabila anak mereka diasingkan.

“Ibu bapa yang anak-anaknya lemah dalam pelajaran ada yang kecil hati bila kita asing anak mereka sebab ingat nanti mesti dapat cikgu yang tidak bagus. Maka sekiranya mahu buat pengasingan mestilah dengan syarat guru terbaik sekolah,” katanya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang dihubungi The Malaysian Insight mengalu-alukan cadangan kerajaan itu.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak bagaimanapun mencadangkan sistem pengasingan hanya dibuat untuk kelas yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang.

“Di peringkat sekolah rendah banyak silibus melibatkan pembelajaran berkumpulan dan jika budak-budak bercampur maka nilai murni saling membantu boleh dipupuk,” katanya.

Beliau bagaimanapun bimbang pengasingan itu tidak akan berkesan sekiranya melibatkan kelas yang ramai murid, yang akan menyukarkan guru.

“Saya dapati ada juga kelas cecah 50 orang,” katanya. – 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen