PESAWAT pengebom AS tidak lagi menjalankan penerbangan di Semenanjung Korea selepas Seoul meminta misi tersebut ditangguhkan, kata seorang general AS pada Isnin.
Jeneral Charles Brown yang mengetuai Tentera Udara AS di Pasifik memberitahu wartawan Pentagon yang penangguhan itu adalah untuk memberi ruang kepada usaha diplomatik yang sedang berjalan berkaitan aktiviti nuklear Korea Utara.
“Disebabkan kita sedang melakukan usaha diplomatik, kami tak mahu buat sesuatu yang boleh memberi kesan kepada rundingan diplomatik tersebut,” kata Brown.
“Jadi itu adalah sebab mengapa kita tak buat (penerbangan) di seluruh Korea.”
Dalam sebahagian “Misi Kehadiran Pesawat Pengebom Berterusan” tentera udara AS menyimpan B-1B, B-52 dan B-2 dalam jajahan miliknya, Guam sejak 2004.
Ia sering melakukan penerbangan di seluruh rantau tersebut, bekerjasama dengan Jepun, Korea Utara dan Australia, serta menjalankan latihan dan menunjukkan kewujudan aktiviti ketenteraan terhadap Korea Utara dan bakal musuh lain.
Brown berkata walaupun tidak terbang di Semenanjung Korea, jumlah penerbangan pesawat tidak berubah.
AS dan Korea Selatan mengecilkan latihan ketenteraan atau membatalkannya sejak pertemuan bersejarah antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump di Singapura pada Jun lalu.
Pada pertemuan itu, Trump mengumumkan yang AS akan menghentikan latihan bersama dengan Korea Selatan, menyifatkannya mahal dan “provokatif”.
Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis minggu lepas berkata AS dan Korea Selatan sudah mengurangkan skala “Foal Eagle”, latihan ketenteraan bersama mereka untuk musim luruh 2019.
Foal Eagle adalah latihan ketenteraan terbesar antara sekutunya yang sentiasa membangkitkan kemarahan Pyongyang yang menyifatkannya sebagai persediaan pencerobohan. – AFP, 27 November, 2018.
Komen