Penganut jaga kuil hingga kes mahkamah didengar


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya jadi tumpuan selepas kekecohan berlaku sejak semalam kerana arahan mahkamah supaya kuil itu dipindahkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

PENGANUT Hindu di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya berhasrat mengawal rumah ibadat tersebut sehingga cabaran undang-undang mereka terhadap pengusiran dan pemulangan tanah kepada pemaju berlaku Khamis ini.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Tindakan Khas Selamatkan Kuil Seafield Elangovan Annamalai berkata penganut tidak menjangkakan kekecohan seperti semalam berlaku lagi, tetapi mereka masih mahu mengawal kuil itu setiap hari.

“Kami tak jangka ada kejadian buruk lagi. Kami tak fikir mereka akan datang balik.

“Polis juga ada di sini jadi kami akan terus melindungi kuil ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada jam 6 pagi tadi, terdapat hampir 20 orang mengawal kuil tersebut. Ada yang masih berjaga, ada juga yang sedang berehat dan tidur dalam kawasan kuil.

Pemilik kedai M Thasarataran, 25, dari Ipoh berkata ramai penganut yang datang untuk memberikan sokongan termasuklah dari Kedah, Pulau Pinang, Johor dan lain-lain.

“Mereka datang malam tadi dan kami jangka mereka akan datang lagi hari ini.”

Lelaki bertopeng menyerbu kuil berusia 147 tahun itu pada jam 2.15 pagi semalam dan menakut-nakutkan penganut yang sedang bersembahyang di situ.

Malah, ada penganut yang diacukan pisau sehinggalah polis datang dan kekecohan tercetus antara penceroboh dan penganut yang cuba mengejar mereka.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Tindakan Khas Selamatkan Kuil Seafield Elangovan Annamalai berkata mereka sedang mengumpulkan sokongan orang India seluruh negara untuk mempertahankan kuil tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

Elangovan juga turut cedera apabila objek yang dilempar terkenanya selepas beliau cuba berunding supaya penceroboh tersebut meninggalkan kawasan kuil.

Polis berkata 18 kenderaan dan dua motosikal dibakar.

Elangovan berkata penganut sudah bersiap sedia sejak 23 November lalu ketika mereka menerima notis pengusiran daripada peguam.

“Sejak kami terima notis pengusiran Jumaat lepas, kami sudah syak akan ada sesuatu berlaku. Sejak itu, kami sudah mengumpulkan orang dan seperti dijangka, ini (kekecohan) berlaku.

“Selepas kejadian ini, kami akan jadi lebih berjaga-jaga. Kami akan terus mengumpul sokongan orang India seluruh Malaysia.

“Kami mahu mereka beramai-ramai datang dan melindungi kuil kami sehingga sesi pendengaran mahkamah,” katanya, menambah yang jawatankuasa itu menggunakan Facebook untuk menghubungi orang India seluruh negara.

Jawatankuasa mahu mendapatkan injuksi mahkamah pada Khamis ini terhadap notis pengusiran itu.

Kuil Sri Maha Mariamman didakwa wujud sejak 1891 lagi, arahan pemindahannya mencetuskan kekecohan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 September mengarahkan kuil itu berpindah ke tapak baharu sebelum atau pada 25 Oktober.

Tetapi, pada tarikh tersebut wujud pertikaian antara polis dan penganut dan hanya berakhir apabila pemaju bersetuju menangguhkan pemindahan itu sehingga 22 November, selepas Deepavali.

Pemaju, One City Development Sdn Bhd yang membeli tanah tersebut pada 2007 sudah menafikan dakwaan menggunakan kumpulan tertentu untuk menakut-nakutkan pengunjung kuil tersebut.

Walaupun terdapat arahan mahkamah mengenai pengusiran dan pemindahan kuil tersebut, dua kumpulan penganut yang sedang berusaha meraih kuasa pengurusan kuil tidak mencapai kata sepakat.

Sebuah kumpualan bersetuju untuk mematuhi arahan tersebut, sedangkan sebuah lagi kumpulan diterajui M Nagaraju mengubah pendirian dan mendakwa nenek moyangnya membina kuil tersebut sejak 1891 dan menjadi tempat pekerja estet bersembahyang. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen