ICERD beri nafas baharu untuk Umno


SM Amin

Isu ICERD membuktikan Umno masih punya taring dan peluang mengembalikan sokongan orang Melayu kepadanya, syaratnya selesaikan semua dahulu masalah dalaman terutama korupsi yang membelenggu parti Melayu itu.

UMNO dapat nafas baru melalui bantahan rakyat terhadap konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia yang digambarkan mengancam kedudukan istimewa Melayu dan Islam di Malaysia.

Cadangan Putrajaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menyedarkan Umno bahawa ia masih relevan untuk mempertahankan hak Melayu Islam, kata Exco Pemudanya Bastien Onn.

“Isu ICERD ini adalah titik perubahan. Apabila berlaku perkara ini, Umno mengambl pendekatan yang selari dengan apa yang ia buat selama ini. Umno kembali ke landasan asal perjuangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bastien menarik perhatian isu ICERD ini berbangkit ketika Umno tenggelam punca mencari hala tuju selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Sejak selepas PRU14, Umno hilang enam ahli Parlimen serta beberapa wakil rakyat negeri yang bertindak keluar parti.

Beberapa pemimpin kanannya juga didakwa di mahkamah atas tuduhan jenayah rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Akaun Umno dibekukan, menyebabkan parti kekurangan dana untuk beroperasi, sementara lebih kurang 60% cawangan berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran kerana gagal menyerah laporan mesyuarat tahunannya.

ICERD memberikan sebab kukuh untuk kerjasama Umno dan PAS, dan peluang itu diambil pantas oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail juga melihat isu ICERD berjaya menyatukan orang Melayu yang merasakan hak mereka di bawah Perlembagaan mula diganggu.

Malah, isu itu juga menyatukan dua parti Melayu, Umno dan PAS, sehingga memaksa kerajaan membatalkan usaha meratifikasi ICERD, katanya.

“Isu ICERD ini permulaan kebangkitan Umno. Kalau kita tengok Umno dan PAS juga sudah mendapat titik penyatuan antara dua parti Melayu Islam terbesar di negara kita.

“Ini petanda kepada kerajaan PH apabila dua parti ini bergabung, kerajaan PH tidak boleh dengan suka hati ingin membawa Malaysia baharu ini ke arah yang menyentuh hak orang Melayu yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dahulu,” katanya.

Polemik

Polemik ini mula berbangkit pada hujung Oktober apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang menjaga portfolio perpaduan berkata Putrajaya komited mengesahkan enam triti antarabangsa termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Kenyataannya menyusul ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada akhir September, kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.

Susulan kenyataan Waytha Moorthy, pada 4 November, Pemuda Umno dan Pemuda PAS menganjurkan Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur.

Ia disusuli bantahan sama di negeri-negeri, membawa kepada Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak, Perak yang disertai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Wakil Umno dan PAS serta badan-badan Melayu juga menganjurkan konvensyen membantah ICERD hujung minggu lalu, sebelum satu perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka minggu depan.

Pakatan Harapan dibawah teraju Dr Mahathir Mohamad berdepan cabaran pertama isu paling utama politik Malaysia-hak istimewa orang Melayu dengan timbulnya ICERD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

Tidak cukup

Bagaimanapun, Rizam yang juga ketua pembangkang di Selangor menegaskan isu ICERD saja tidak cukup untuk Umno dapat semula sokongan rakyat.

Katanya, ada isu lain lagi yang dihadapi oleh rakyat sekarang.

Umno juga perlu segera memperbaiki kelemahan yang ada dalam parti dan menganjurkan program yang menyentuh kehidupan rakyat termasuk soal kos sara hidup.

Walaupun ICERD seolah-olah menarik kembali sokongan orang Melayu dan Islam kepada Umno dan PAS, ia masih tidak mencukupi untuk kedua-dua pembangkang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

“Kita perlu membawa permasalahan rakyat supaya didengar oleh rakyat. Ini yang akan menjadikan Umno relevan kepada generasi hari ini dan rakyat Malaysia,” kata Adun Sungai Air Tawar itu.

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Seri Cahaya Kuala Selangor Hanapi Mohd Ali berkata isu ICERD ini permulaan kebangkitan Umno, selepas parti itu ditekan dengan pelbagai cara oleh parti pemerintah, pemimpinnya didakwa, akaun parti dibekukan sehingga sukar untuk menjalankan gerak kerja dan pelbagai lagi.

“Hari ini kita lihat rakyat perlahan-lahan sudah kembali kepada Umno. Dalam isu ICERD ini mereka sudah nampak hanya Umno yang mampu mempertahankan hak mereka.

“Rakyat sudah mula rasa banyak tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kita selama ini telah membantu mereka tanpa mereka sedar.

“Jadi kita (Umno) tidak boleh terus kecewa dengan kekalahan lepas. Rakyat perlukan Umno dan isu ICERD ini hanya permulaan,” katanya. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen