Ribuan penganut berhimpun, kuil USJ seperti 'Thaipusam mini' 


K. Kabilan

Penganut kelihatan berhimpun di kawasan kuil dipercayai bertujuan melindungi kuil itu daripada pencerobohan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018.

PENGANUT-penganut Hindu dari seluruh negara berhimpun di Kuil Sri Mahamariamman di USJ 25, Subang Jaya, malam ini, bagi menunjukkan sokongan terhadap kuil tersebut yang diserang awal pagi ini.

Menurut saksi, suasana di kuil tersebut kelihatan seperti “Thaipusam mini”.

“Beribu-ribu orang berhimpun di kuil itu, (mereka) mula tiba sejak petang ini,” kata A Selvan yang berasal dari Tanjung Malim.

Orang ramai yang ditapis ke jalan utama bertentangan kuil itu bagaimanapun dilihat tetap bersikap tenang.

Namun, terdapat sebilangan kecil dilihat menganggu sebahagian pemandu yang melalui jalan tersebut.

Jalan raya yang di sekitar kuil tersebut juga dilihat tidak bergerak ekoran himpunan.

Seorang aktivis yang berada di kuil semasa serangan itu berkata beliau berharap orang ramai akan mengekalkan disiplin mereka.

Tidak dapat dipastikan jika orang ramai akan menghabiskan sepanjang malam di kuil itu atau mereka akan kembali ke rumah masing-masing.

Mereka bagaimanapun berkata bersedia menghadapi mana-mana penyerang kali ini.

Sekurang-kurangnya satu Pasukan Rizab Persekutuan (FRU)  ditempatkan di tempat kejadian, termasuk trak meriam air.

Pada kira-kira jam 2 pagi tadi, sekumpulan orang telah menyerang kuil itu, mencederakan para penganut yang berkhemah di kuil untuk melindunginya dari penempatan semula ke tempat lain.

Para penganut dan aktivis terlibat dalam pertempuran melawan pemaju yang memiliki tanah itu, dan enggan berpindah meskipun ada persetujuan untuk penempatan semula tersebut.

Sementara itu, polis berjaya menahan 17 orang berhubung serangan tersebut setelah siasatan dilancarkan. – 26 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen