Tony Pua tidak terkejut dengan pindaan pada laporan 1MDB


Asila Jalil

Tony Pua berkata kenyataan yang dibuat Ketua Audit Negara itu adalah fakta, bukannya pendapat yang boleh membawa implikasi mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018. 

BEKAS anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Tony Pua berkata beliau tidak terkejut berkenaan berita bekas Perdana Menteri Najib Razak  memerintahkan beberapa perubahan dibuat dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pua berkata beliau tidak tahu mengenai pindaan yang dibuat kerana beliau hanya menerima dokumen itu apabila ia datang dari pejabat juruaudit.

“Saya tidak tahu. Apabila dokumen itu datang dari AG, saya terima.

“Saya berasa kecewa namun saya tidaklah terkejut kerana bekas perdana menteri akan melakukan apa sahaja untuk menyembunyikan apa-apa salah laku,” katanya di Parlimen hari ini.

Hujung minggu lalu, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengesahkan laporan berita yang memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan bahawa laporan audit itu telah diubahsuai.

Madinah berkata pengubahan yang diperintah Najib adalah penghapusan dua perenggan mengenai penyata kewangan 1MDB untuk tahun 2014.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Najib, di sebuah mesyuarat pada 22 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri, di mana bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, bekas ketua setiausaha kerajaan Ali Hamsa dan bekas ketua persendirian utama kepada perdana menteri Shukry Mohd Salleh turut hadir.

Terdapat satu lagi mesyuarat pada 24 Feb 2016, yang dihadiri oleh orang yang sama tanpa Najib, dengan pegawai lain dari Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kewangan, serta presiden dan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Perbincangan mengenai apa yang perlu dikeluarkan atau dipinda diteruskan pada hari berikutnya pada 25 Februari di pejabat Ali.

Pada 28 Februari 2016, penyingkiran perenggan yang menyatakan kehadiran ahli perniagaan buruan Low Taek Jhow ketika mesyuarat lembaga 1MDB dilakukan.

Ali, Arul Kanda dan pasukan audit kemudian menyemak laporan yang dipinda pada 1 Mac, dan laporan itu akhirnya diserahkan kepada PAC pada 4 Mac.

Pua, yang kini setiausaha politik Menteri Kewangan berkata tidak ada masalah bagi Madinah untuk mengeluarkan kenyataannya kerana beliau hanya menceritakan fakta.

“Tidak ada penghinaan terhadap mahkamah. Kenyataan itu adalah fakta yang beliau buat.

“Jika dia memberi pendapat, itu salah. Tetapi dia memberikan fakta,” tambah Pua lagi. – 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen