YAYASAN Open Society yang diasaskan jutawan AS George Soros pada hari Isnin berkata ia akan menghentikan kegiatan di Turki setelah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyerang dermawan kelahiran Hungary minggu lalu.
Erdogan pada hari Rabu mendakwa Soros menyokong ahli kewangan dan penjenayah Turki yang dipenjarakan Osman Kavala yang banyak menganjurkan acara masyarakat madani.
Kavala dipenjarakan tahun lepas menunggu perbicaraan. Tanpa menamakannya secara langsung, Erdogan mendakwa Kavala “membiayai pengganas” semasa protes anti-kerajaan pada tahun 2013.
Dalam satu kenyataan, Yayasan yang dipelopori Soros itu mengatakan bahawa siasatan baru oleh pihak berkuasa Turki cuba mewujudkan hubungan di antara entiti itu dan demonstrasi 2013.
“Usaha ini bukanlah perkara baru dan semuanya adalah palsu,” kata Yayasan itu.
Lembaga eksekutif yayasan itu juga menjelaskan “peningkatan tuduhan tidak berasas dan spekulasi yang tidak seimbang dalam media terhadap Yayasan Open Society” menyebabkan lembaga tersebut menyimpulkan bahawa “meneruskan kerja yayasan ini (di Turki) adalah mustahil”.
Yayasan itu mengatakan ia akan memohon penutupannya di mahkamah “dengan segera”, tetapi menegaskan bahawa ia menjalankan setiap operasi di Turki dengan mematuhi undang-undang negara.
Erdogan sebelum ini berkata Kavala adalah wakil di Turki untuk jutawan “Yahudi terkenal” yang dituduh cuba “memisahkan dan meruntuhkan negara”.
Membiayai projek-projek dermawan di seluruh dunia, Soros menjadi sasaran kegemaran pelampau berhaluan kanan di banyak negara.
Beberapa aktivis mengutuk kekurangan pendakwaan selama setahun penahanan Kavala.
Pihak berkuasa Turki mengesyaki Kavala “berusaha untuk menghapuskan perintah perlembagaan” dan “cuba menggulingkan pemerintah” dengan “kekerasan atau keganasan”. – AFP, 26 November, 2018.
Komen