PEGUAM Hak Asasi Manusia Siti Kasim membantah komen Menteri Pendidikan Maszlee Malik, yang menyeru media agar tidak menimbulkan sensasi “berita negatif” ketika melaporkan berita berkenaan kantin yang dipisah bagi umat Islam di sekolah-sekolah di Melaka.
“Saya tidak ada pilihan selain membantah respons bodoh Ustaz Maszlee Malik, Menteri Pendidikan,” kata Siti dalam satu hantaran status Facebook hari ini.
“Pada dasarnya beliau mengatakan bahawa media tidak sepatutnya melaporkan perkara-perkara buruk yang berlaku di dalam masyarakat kita tetapi hanya menonjolkan perkara-perkara yang baik. Untuk melaporkan perkara-perkara buruk seperti kantin berasingan untuk pelajar Melayu dari bukan Melayu untuk beliau adalah ‘mencari sensasi’.
“Saya anggap media patut diam saja terhadap salah laku dalam masyarakat kita seperti 1MDB, rasuah FELDA, dan lain-lain, kerana hal-hal itu akan menjadi sensasi,” kata peguam itu.
Maszlee hari ini berkata bahawa media sepatutnya menonjolkan laporan bahawa sekolah mubaligh dan vernakular tidak mempunyai masalah dengan perpaduan kaum.
Beliau juga berkata media tidak seharusnya “menjadikan perkara negatif sebagai sesuatu yang sensasi hanya demi kepentingannya” dan terutamanya apabila ia hanya melibatkan “satu kes”.
Laporan The Malaysian Insight, bagaimanapun, menunjukkan bahawa sekolah-sekolah lain di Melaka juga mempunyai kantin berasingan untuk pelajar dan kakitangan Islam, ia adalah sebuah fakta yang disahkan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Siti berkata, Maszlee bukan sahaja tidak “berterima kasih kepada media kerana melakukan tugas mereka untuk mengetahui masalah dalam sistem pendidikan kita, bahkan Ustaz Maszlee menyerang mereka pula.”
“Daripada menyediakan penyelesaian untuk membetulkan masalah, dia serang penyampai berita itu pula.”
Siti juga menyifatkan menteri itu sebagai “mini Donald Trump”, merujuk kepada presiden AS yang mempunyai hubungan buruk dengan media Amerika Syarikat.
Beliau turut menyeru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Maszlee, yang beliau gelar “Napoleon kecil”, Siti berkata bekas ahli akademik yang menyertai Bersatu sebelum pilihan raya umum itu tidak memberikan penyelesaian tetapi merupakan “gejala masalah dalam pendidikan Malaysia”. – 26 November, 2018.
Komen