Serangan ke atas kuil tidak Islamik, kata PAS dan Ikatan 


Ravin Palanisamy

Ketua PAS Kota Raja Mohamed Diah (empat dari kiri) dan naib timbalan presiden Mohammad Badri Abd Rahman (kiri) bertemu pemimpin Kuil Seafield S Ramaji sebagai tanda sokongan terhadap kuil berkenaan.

AHLI parti Islam PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengadakan lawatan ke kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya untuk perdamaian dengan penganut selepas ia diserang oleh sekumpulan lelaki bertopeng.

Ketua PAS Kota Raja Mohamed Diah dan naib timbalan presiden Mohammad Badri Abd Rahman bertemu pemimpin pasukan petugas Kuil Seafield S Ramaji di kuil berkenaan untuk menegaskan bahawa insiden berkenaan, yang melibatkan beberapa orang Melayu, tidak selari dengan ajaran Islam.

“Ini bukan ajaran Islam. Ini perbuatan beberapa samseng yang sengaja mencemarkan imej dan nama baik Islam.

“Bagi pihak Islam, saya sangat kesal dengan apa yang berlaku,” kata Mohammad Badri kepada S. Ramaji.

Sementara itu, Mohammad Diah berkata, rakyat Malaysia tidak sepatutnya menggunakan pencerobohan dan melakukan keganasan untuk mencetus kebencian kaum.

“Saya hadir adalah untuk merayu untuk kita hidup dalam harmoni. Kita bersama-sama dalam isu ini dan mari kita selesaikan perkara ini dalam suasana diplomatik,” katanya kepada Ramaji pada pertemuan itu.

Terdahulu, polis dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, insiden yang berlau pukul 2.15 pagi itu bukan isu perkauman. Sebaliknya, ia dipercayai adalah pertelingkahan berhubung keengganan pihak kuil untuk mematuhi notis pemindahan oleh pemaju swasta yang memiliki tanah berkenaan.

Kira-kira 50 orang lelaki bertopeng menyerang kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya awal pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018

Ketua polis Selangor Mazlan Mansor dalam sidang media awal hari ini berkata, kira-kira 50 orang lelaki Melayu terbabit.

Sekumpulan individu bersenjatakan pisau tiba pada waktu subuh dan menakutkan penganut agar meninggalkan kuil berkenaan. Ketika pergelutan berlaku, 18 kenderaan dibakar dan beberapa orang mengalami kecederaan.

Kumpulan berkenaan menjadikan beberapa penganut sebagai tebusan sehingga kira-kira 100 anggota polis tiba.

Pemaju yang juga pemilik tanah berkenaan, One City Development Sdn Bhd, menafikan terlibat dengan mana-mana kumpulan untuk melaksanakan notis pemindahan.

One City memiliki tanah berkenaan sejak 2007. Dalam pertikaian dengan kuil berkenaan yang menjadi tempat beribadat pekerja estet India sejak 1891, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September mengarahkan kuil berkenaan mengosongkan premis sebelum 25 Oktober ke tapak baharu yang disediakan.

Selepas tempoh akhir tamat, pemaju menyerah dan bersetuju untuk menangguhkan pemindahan sehingga selepas sambutan Deepavali.

Kuil berkenaan kini mencabar pengusiran dan pemindahan di mahkamah Khamis ini. – 26 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen