Pemuda Umno desak polis siasat Ganabatirau


SM Amin

Pemuda Umno turut menggesa pihak polis mengambil tindakan segera menyiasat pemaju dan Ganabatirau (gambar) kerana mendakwa beliau cuba mengapikan perkauman. – Gambar Facebook, 26 November, 2018.

PEMUDA Umno mendesak Polis Di-Raja Malaysia menjalankan siasatan terhadap exco kerajaan Selangor, V Ganabatirau yang cuba mengaitkan kekacauan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights, awal pagi tadi sebagai isu perkauman.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan Ganabatirau mengaitkan insiden tersebut dengan kumpulan Muslim seperti mahu mengapi-apikan perkauman di Malaysia.

Jelas Asyraf, insiden awal pagi tadi adalah permasalahan antara penganut Hindu di kuil tersebut dengan pemaju atau pemilik tapak kuil One City Development Sdn Bhd, yang ingin membangunkan kawasan tersebut.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan V Ganabatirau, exco DAP yang menyalahkan orang Melayu Islam yang mencetuskan ketidakharmonian atau pemberontakkan segala insiden yang berlaku di kuil tersebut.

“Dakwaan exco DAP ini amat mengecewakan seolah-olah dia mahu mengapi-apikan perkauman,” katanya selepas mempengeruskan mesyuarat Exco Pemuda Umno di ibu pejabat Umno hari ini.

Pemuda Umno turut menggesa pihak polis mengambil tindakan segera menyiasat pemaju dan Ganabatirau, yang mengeluarkan kata-kata menghasut dan boleh menimbulkan ketidaktenteraman agama dan kaum, tambahnya.

Exco Pemberdayaan Dan Pembangunan Sosio Ekonomi Dan Kerajaan Prihatin Selangor itu dalam kenyataannya menyifatkan serangan daripada kumpulan Muslim merupakan cubaan mewujudkan suasana tidak harmoni antara kaum di Malaysia.

Ganabatirau kemudian mengubah kenyataannya di Facebook dengan menukar perkataan “kumpulan Muslim” kepada “kumpulan samseng”, selepas mendapat kecaman orang ramai.

Menurut Asyraf, Pergerakan Pemuda Umno akan membuat laporan polis berkaitan dengan hal ini supaya ia boleh disiasat.

Beliau juga menyalahkan kerajaan negeri Selangor yang gagal menangani isu tapak kuil sehingga membawa kepada tercetus kekecohan sehingga dikaitkan dengan pertembungan kaum.

“Kita menggesa pihak polis menyiasat dakwaan yang mengatakan bahawa pemaju ini menggunakan samseng-samseng, tidak kira siapa sahaja kalau samseng itu kalau orang Melayu ia tidak mewakili bangsa Melayu.

“Seharusnya kerajaan negeri Selangor yang harus bertanggungjawab kerana membiarkan suasana ini berlaku dan berlarutan,” katanya yang turut meminta semua pihak menghentikan segala provokasi kaum dan agama.

Polis setakat ini menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kekacauan itu. Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor tidak menolak akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat. – 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen