PEMUDA Umno Malaysia akan mengerahkan pasukan keselamatannya Briged Kesatria Muda untuk bersama Unit Amal Pemuda PAS mengawal keselamatan sepanjang Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur 8 Disember depan.
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata Briged Kesatria Muda bersama Unit Amal akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tiada unsur-unsur provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
“Pemuda Umno bersetuju untuk mewujudkan Briged Kesatria Muda untuk bersama-sama dengan Jabatan Amal Malaysia PAS bagi memastikan keamanan dan keselamatan semua rakyat yang berhimpun pada hari itu.
“Kalau ada unsur-unsur provokasi dan sepanduk-sepanduk yang memainkan sentimen agama dan kaum, ada sebarang senjata yang dibawa, kita akan bawa mereka kepada pihak polis.
“Itu komitmen Pergerakan Pemuda untuk memastikan bahawa rakyat boleh berhimpun dengan aman dan harmoni,” katanya selepas mempengeruskan mesyuarat Exco Pemuda Umno di ibu pejabat Umno hari ini.
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) bakal menganjurkan Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bermula pukul 2 petang, dengan tema berpakaian putih.
Menurut Asyraf, ICERD bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi mampu merobek keharmonian dan meruntuhkan keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia selama ini.
“ICERD tidak cocok dengan acuan Malaysia. Kita ada acuan kita sendiri yang perlu dipertahankan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, susulan kejayaan bantahan terhadap isu ICERD yang diinisiatifkan oleh Pemuda Umno dan Pemuda PAS pada 4 November lalu, kerjasama kedua-dua sayap parti itu akan diteruskan dalam isu-isu berkaitan rakyat.
“Kerjasama antara Pemuda Umno dan Pemuda PAS akan diteruskan dalam isu-isu yang berkaitan dengan rakyat dan kepentingan agama dan seluruhnya, bukan sahaja orang Melayu tetapi bumiputera dan juga rakyat Malaysia.
“Kita akan teruskan kerjasama ini sebagai pembangkang yang efektif dan kita akan melihat isu-isu melibatkan masa depan dan sara hidup rakyat yang pada hari ini semakin tertekan dengan pelbagai bentuk tekanan yang dibuat oleh kerajaan,” katanya. – 26 November, 2018
Komen