KEGANASAN yang meletus di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi ini berakar seawal tahun 2007 apabila One City Development Sdn Bhd membeli tanah terletaknya kuil tersebut.
Untuk tujuh tahun kemudiannya, pemaju mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa kuil mengenai status tanah tersebut.
Bagaimanapun, wujud masalah apabila terdapat dua kumpulan berasingan yang mendakwa mempunyai hak pemilikan terhadap kuil tersebut.
Akhirnya, pada tahun 2014, selepas perbicaraan undang-undang yang panjang, keputusan telah dipersetujui melibatkan semua pihak berkepentingan -One City, kerajaan Selangor dan dua pihak yang menuntut pemilikan kuil- K Chellappa dan M Nagaraju- iaitu penempatan semula kuil tersebut di kawasan lain, ditambah pampasan mengenainya.
Kedua-dua Chellappa dan Nagaraju, yang terlibat dalam saman berasingan berhubung kawalan pengurusan terhadap kuil, bersetuju untuk menyerahkan tanah itu kepada One City. Sebagai gantinya, kuil itu akan dipindahkan ke tanah seluas 0.4 hektar di USJ 23. RM2.5 juta juga diakan diberikan bagi pembinaan kuil baru.
Namun, Nagaraju kemudiannya mengubah fikiran. Beliau mendakwa nenek moyangnya telah membina kuil tersebut. Beliau dan beberapa kumpulan hak asasi kaum India kemudian menentang penempatan semula tersebut.
Pendiriannya supaya kuil tersebut terus dikekalkan di lokasi sekarang adalah disebabkan sebatang pokok ara- yang dianggap suci dalam agama Hindui- ditanam di atas tanah kuil tersebut.
Beliau juga berpendapat bahawa kuil itu tidak harus dipindahkan kerana para penganut Hindu telah menjalankan ritual berdoa di tapak tersebut sejak 1891, ketika tanah kuil tersebut dibuka oleh pekerja ladang India.
Chellappa, yang merupakan presiden jawatankuasa kuil di dalam penyelesaian mahkamah 2014, dengan senang hati mematuhi penghakiman supaya kuil untuk dipindahkan.
Notis pengusiran pertama datang pada minggu pertama bulan Mac 2017.
Bagaimanapun, pada Jun 2017, Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata beliau telah bercakap dengan pemaju dan memujuk mereka agar pengusiran kuil tersebut ditangguh.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan perbincangan dengan beberapa pemimpin Selangor termasuk ahli majlis eksekutif negeri V. Ganabatirau, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Subang Sivarasa.
Berikutan pertemuan antara penggubal undang-undang dan kumpulan hak sivil yang disebut sebagai Pasukan Petugas Seafield pada 14 Disember, beberapa ahli parlimen berkata Azmin akan membantu membawa semua pihak dan pihak berkepentingan yang berkaitan ke meja rundingan.
Pada 31 Mei tahun ini, Ganabatirau berkata penempatan semula kuil itu perlu diikuti apabila perintah mahkamah telah memutuskan bahawa Chellappa adalah presiden kuil yang sah, di samping menambah bahawa jawatankuasa kuil bersetuju untuk berpindah. Ini mendorong beratus-ratus penganut untuk berkumpul bagi menghentikan proses tersebut.
Kumpulan sokongan mula membantah proses perobohan kuil. Pasukan Bertindak Kuil Seafield di bawah pimpinan aktivis Hindu terkemuka S. Ramaji juga memainkan peranan penting bagi menghentikan penempatan semula kuil tersebut.
Kemudian, pada 28 September, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan notis mengarahkan pihak kuil untuk mengosongkan premis itu sebelum 25 Oktober.
Titik perubahan utama berlaku pada 25 Oktober apabila pihak polis berkawal di kawasan kuil dari kumpulan penganut Hindu di luar pintu pagar kuil selepas mereka mendakwa bahawa jawatankuasa itu merancang untuk memindahkan dewa utama ke tapak baru kira-kira 2.7 km jauhnya.
Para penganut kuil tersebut yang menentang penempatan semula melindungi dewa utama kuil tersebut sementara yang lain mengawal untuk memastikan tidak ada penempatan semula yang terjadi. Gerbang kuil ditutup dan penutup kepada dewa utama ditarik ke bawah. Beberapa penganut juga memulakan mogok lapar.
Himpunan itu kemudian berjawa dibubarkan setelah pemaju bersetuju untuk menangguhkan penempatan semula sehingga 22 November, selepas perayaan Deepavali.
Sivarasa, yang kini merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh, juga dilaporkan berkata pengurusan kuil itu akan dijalankan ketua Pasukan Petugas Seafield, Ramaji.
Pada 20 Oktober, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri Selangor akan mematuhi perintah mahkamah untuk memindahkan kuil itu kerana ia dibina di atas tanah persendirian.
Ramaji, bagaimanapun, menegaskan hari ini mereka tidak akan bergerak meskipun diberi tapak yang baru. Beliau juga mengesahkan bahawa pihak kuil menerima arahan daripada pemaju untuk mengosongkan tanah tersebut tetapi menambah mereka akan mencabar perintah itu pada hari Khamis.
“Mengapa mereka menyerang kami apabila isu itu dibawa ke mahkamah ?. Kami mahu kekal di sini. Tanah itu telah diberikan kepada kami pada tahun 1897. Terdapat dokumen (untuk menyokong ini).
“Ini adalah kuil kami dan kami tidak perlu berpindah,” katanya.
Tiada pemimpin Pakatan Harapan melawat kuil itu selepas kejadian pagi tadi. Mereka hanya mengeluarkan kenyataan mendesak pihak polis untuk menghukum para pelaku tindakan tersebut.
Ahli Parlimen Batu PKR P Prabakaran terkejut apabila beliau melawat kuil tersebut apabila penganut-penganut yang ada di kuil mengatakan mereka tidak mahu ahli politik campur tangan dalam perjuangan mereka.
Bagaimanapun, mereka menyambut lawatan pemimpin MIC, termasuk presidennya S Vigneswaran, yang juga menjanjikan RM20,000 kepada kuil itu. – 26 November, 2018.
Komen