Guan Eng 'kagum' Ahmad Maslan terus pertahan 1MDB


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pontian dari Barisan Nasiona Ahmad Maslan berkata beliau percaya pada Arul Kanda yang pernah mengatakan 1MDB mempunyai aset bernilai RM43 bilion.– Gmbar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018

LIM Guan Eng ‘kagum’ dengan bekas timbalan menteri kewangan, Ahmad Maslan yang terus mempertahankan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya kagum yang berhormat masih percaya dengan Pekan (Najib) dan setia sampai ke akhirnya,” kata Lim, menggulung perbahasan belanjawan Kementerian Kewangan pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

“Mungkin pilihan yang berhormat untuk percaya Arul Kanda Kandasamy (bekas CEO 1MDB). Tetapi saya tidak curi wang negara macam Arul Kanda dan yang lain-lain yang ada kaitan dengan 1MDB.

“Nampaknya yang berhormat tidak kisah bahawa bekas CEO Goldman Sachs, Tim Leissner sudah pun mengaku atas jenayah itu,” tambah Ahli Parlimen Bagan itu.

Menurut Lim, sokongan membabi buta orang seperti Ahmad menyebabkan kerajaan rugi besar.

“Saya kagum yang berhormat… ketika tiada lagi orang lain di sebelah sana mempertahankan 1MDB, yang berhormat masih,” kata Lim.

Ahmad kemudian membalas: “Terima kasih.”

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pontian dari Barisan Nasional itu berkata beliau percaya pada Arul Kanda yang pernah mengatakan 1MDB mempunyai aset bernilai RM43 bilion, kerana ketika itu beliau menerajui syarikat pelaburan tersebut.

Berdasarkan kenyataan Arul Kanda itu, Ahmad mempersoalkan penilaian kerajaan terhadap hutang 1MDB.

Jun lalu, kerajaan berkata ia menjamin hutang 1MDB sebanyak RM38 bilion pada akhir 2017. Ditokok dengan kadar faedah, kerajaan menganggarkan hutang itu berjumlah kira-kira RM50.7 bilion.

“Saya tiada alasan untuk tidak percayakan beliau kerana beliau seorang profesional yang mengatakan berkali-kali bahawa 1MDB ada aset yang cukup untuk melunaskan hutangnya,” kata Ahmad.

“Aset apa?” tanya Lim.

“Tidak ada apa yang tinggal. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada 2016 menyatakan bahawa TRX, Bandar Malaysia dan tanahnya sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan,” tambah menteri kewangan itu.

Menurut Lim, pendedahan terbaru bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sudah dipinda oleh pentadbiran Najib jelas menunjukkan bahawa maklumat kerajaan sebelum ini mengenai 1MDB tidak boleh dipercayai.

Katanya, beliau tidak tahu hendak cakap apa sekiranya Ahmad terus mahu percaya bahawa 1MDB bukan satu skandal walaupun ada banyak pendedahan dan pengakuan.

“Saya hanya akan terima selepas Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan buat keputusan,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.

Arul Kanda, yang ditamatkan perkhidmatannya dengan 1MDB, sebelum ini meminta orang ramai menilai 1MDB berdasarkan kejayaannya. Beliau mendakwa syarikat pelaburan itu mempunyai aset berjumlah RM43 bilion berbanding hutang sebanyak RM31 bilion. – 26 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen