MENURUT undang-undang, mana-mana negara termasuk Malaysia, boleh menanguhkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk tempoh tertentu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.
Katanya perkara itu akan berbeza sekiranya sesebuah negara memutuskan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan.
“Dalam terma undang-undang, mana-mana negara dan bukan sahaja Malaysia boleh menangguhkan bagi tempoh tertentu, melainkan negara itu memutuskan untuk tidak meratifikasikannya.
“Ia seperti itu, tidak ada halangan kerana keadaan mungkin berubah pada masa depan. Mungkin ketika itu Pas dan Umno akan meminta untuk mengesahkan ICERD,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Pada hari Jumaat, Pejabat Perdana Menteri menyatakan Putrajaya tidak akan meratifikasikan konvensyen itu dan kerajaan akan terus mempertahankan perlembagaan persekutuan “yang mengandungi kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum semasa penubuhan negara ini.”
ICERD menjadi isu panas selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata ia merupakan antara enam perjanjian hak asasi manusia yang dirancangkan untuk diratifikasi oleh kerajaan pada suku pertama tahun 2019.
Kumpulan hak Melayu, dan juga Umno dan PAS, yang menentang konvensyen berkenaan, akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 8 Disember bagi menunjukkan penghargaan kepada kerajaan mengenai keputusannya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah untuk tidak meratifikai konvensyen itu tidak dibuat dengan betul.
Katanya ia perlu disahkan dan ditandatangani perdana menteri, diusulkan di Parlimen dan kemudian direkodkan dalam hansard rasmi. – 26 November, 2018
Komen