Penduduk Kepala Batas tak teruja kehadiran 3M


Yasmin Ramlan Looi Sue-Chern

Pekerja sedang memasang poster bagi program ceramah Bersatu di Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Ogos, 2017.

GANDINGAN “3M” pemimpin kanan Bersatu pada program di Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini, tidak berjaya menarik perhatian penduduk sekitar malah ada yang langsung tidak mengetahui mengenainya.

Ceramah yang bakal diadakan di Kompleks Sukan MPSP Bertam, Kepala Batas pada jam 9 malam ini akan menyaksikan kehadiran Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Muhyiddin Yassin dalam program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat.

Kebanyakan penduduk berdekatan yang ditemui oleh The Malaysian Insight sebentar tadi memberitahu mereka tidak tahu langsung mengenai ceramah tersebut.

Menurut surirumah yang hanya mahu dikenali sebagai Rafeah, 48, mengakui tidak tahu mengenai program tersebut tetapi tidak juga berminat untuk hadir walaupun mengetahuinya lebih awal.

Katanya, ia tidak akan mengubah situasi rakyat yang kini berdepan peningkatan harga barang.

“Tak tahu pun ada ceramah Dr Mahathir datang. Saya tak minat. Banyak sangat kerja kat rumah.

“Siapa-siapa naik (menang) pun harga barang dapur sama saja. Naik juga. Saya tak nak ambil tahu dah,” katanya dari Penaga.


Muhammad Fitri Mohd Jifri berkata tidak mendapat sebarang maklumat mengenai program yang bakal diadakan di Kompleks Sukan MPSP Bertam, Kepala Batas malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Ogos, 2017.

Muhammad Fitri Mohd Jifri, 21, juga senada dengan Rafeah biarpun gandingan 3M bakal menggegarkan kawasan yang terkenal dengan bekas perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi itu.

“Saya tak ada langsung dengar (mengenai ceramah). Saya duduk di Pinang Tunggal saja.

“Di sini pun jarang dengar orang sembang politik. Saya pun kurang minat nak ambil tahu (mengenai politik). Saya daftar undi pun tidak lagi walaupun umur sudah 21 tahun. Banyak lagi benda nak fikir, kos sara hidup lagi, rumah sewa.

“Saya pula baru habis belajar. Gaji RM1,100 saja. Lepas potong EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), bayar rumah sewa semua tinggal apa saja,” katanya yang baru bekerja sebagai mekanik selama tiga bulan.

Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati tidak banyak bendera parti dan sepanduk mengenai siri jelajah tersebut sepanjang kawasan berdekatan lokasi ceramah.

Sementara itu, walaupun mengetahui mengenai program malam ini, Tan, 60, peniaga kedai motosikal di kawasan itu tidak merancang untuk hadir.

Katanya, dia lebih rela mengikuti ceramah itu melalui siaran langsung Facebook ataupun membaca mengenainya keesokan harinya.

“Bukannya saya takut pasal ‘kerusi terbang’. Tapi saya tak nak menghadapi masalah kesesakan jalan dan tempat letak kereta kalau pergi ke sana,” katanya merujuk kekecohan forum Nothing to Hide 2.0 yang berlaku di Shah Alam pada Ahad lalu.

“Lagipun, apa yang Dr Mahathir akan cakap mesti pasal memburukkan Barisan Nasional. Cerita sama saja berulang-ulang.

“Saya masih boleh dengar ceramah itu tanpa kena gigit nyamuk,” katanya.

Menurutnya lagi, gandingan 3M juga tidak menarik perhatiannya.

“Pada pendapat saya, dia (Dr Mahathir) tak patut datang sini. Di Kepala Batas, kami ada ‘raja’ kami. Itu penggantinya,” katanya yang merujuk kepada bekas perdana menteri yang meletak jawatan susulan desakan daripada pemimpin 92 tahun itu.

Abdullah yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah berkhidmat sebagai perdana menteri pada Oktober 2003 sehingga April 2009 selepas Dr Mahathir.

“Pak Lah dah buat banyak untuk pembangunan Kepala Batas semasa dia menjadi perdana menteri,” katanya.

Begitu juga Ong, 28, yang memilih mengikuti program itu secara dalam talian sahaja.

“Saya tak pernah pergi ceramah. Saya selalunya tengok online memandangkan ceramah seperti itu bersiaran langsung selalunya.

“Saya tak ikut politik sangat tapi kalau saya ada masa memang saya akan tengok ceramah online. Saya akan tengok ceramah dari pihak BN juga. Kita mesti dengar dari dua-dua belah pihak juga,” katanya.

Persiapan sedang giat dijalankan di Kompleks Sukan MPSP Bertam, Kepala Batas bagi program yang akan berlangsung malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Ogos, 2017.

Bagaimanapun, Sobri Md Noh, 40, pula berminat untuk hadir kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai isu semasa yang disampaikan oleh Dr Mahathir walaupun tidak mengetahuinya lebih awal.

“Saya tak tahu pun ada ceramah. Di mana? Tak ada poster atau banner digantung kat sini.

“Saya rasa nak pergi kalau sempat sebab nak tahu perkembangan parti Bersatu. Kalau nak tengok kat TV (berita) cakap lain, banyak potong. Kita nak dengar isu 1MDB,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Yaakob Osman berkata parti itu mensasarkan 5,000 penonton hadir malam ini yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Kira-kira 3,000 kerusi sudah tersusun di padang kompleks sukan tersebut.

Polis Daerah Seberang Prai Utara ACP Azmi Adam ketika dihubungi berkata pihaknya akan menghantar anggota secukupnya untuk mengawal keadaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami akan menghantar bilangan anggota yang secukupnya untuk mengawal keadaan bagi mengelakkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen