PENGANUT kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, berkata mereka tidak akan gentar dan tetap bertahan susulan serangan awal pagi di kuil yang menyebabkan beberapa orang cedera dan lebih 10 kereta terbakar.
Sami kuil S. Jayakumar berkata mereka tidak akan mengosongkan kuil itu dan mahu kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kami tidak akan meninggalkan kuil ini dan tidak mahu lebih banyak kuil Hindu dimusnahkan.
“Kami mengundi kerajaan baharu dan mahu mereka membantu kami menyelesaikan masalah ini.
“Kenapa ini berlaku kepada golongan minoriti?” soalnya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata pengurusan kuil akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan menyalahkan pemaju yang bakal memiliki tanah kuil itu tidak lama lagi.
Beliau berkata lebih 150 orang menyerbu tapak kuil itu pada jam 2.15 pagi dengan senjata.

“Terdapat lebih 100 penganut di kuil apabila kejadian itu berlaku.
“Kami baru sahaja selesai sembahyang apabila sekumpulan orang bertopeng mula berteriak kepada kami agar mengosongkan kuil itu,” kata Jayakumar.
Beliau berkata mereka yang menyerbu kuil mengatakan kawasan itu dimiliki oleh pemaju, sebelum menuntut para pengikut “keluar”.
Lebih 100 anggota polis dihantar ke kuil berusia 147 tahun itu. Pasukan bomba juga berada di tempat kejadian untuk memeriksa kenderaan yang dibakar.
Jayakumar berkata dalam kejadian itu, penganut dikejar dan beberapa lelaki bertopeng menghunus pisau di leher mereka.
“Mereka mengurung kami dalam kuil hingga jam 5 pagi. Bila polis tiba dan mereka mula melarikan diri.
“Kami mengejar mereka dan beberapa daripadanya tercicir barang. Kami juga menemui beg dengan beberapa kad pengenalan.
“Semua barang akan diserahkan kepada polis.” – 26 November, 2018.
Komen