REAKSI negatif terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disebabkan pemikiran umat Islam dan bukan kerana perjanjian itu menyebabkan masalah dengan Islam, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.
“Walaupun ratifikasi itu tidak terlaksana, Muslim sepatutnya sedar apa masalah sebenarnya. Masalahnya bukan ICERD, masalahnya ialah pemikiran,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata umat Islam sepatutnya menangani masalah dengan agama yang sudah sekian lama ada walaupun sebelum Malaysia berhasrat meratifikasi ICERD.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut menyalahkan reaksi terhadap ICERD kepada pembangkang, berkata mereka cuba mengurangkan sokongan Melayu Islam untuk Pakatan Harapan (PH).
Putrajaya minggu lalu mengumumkan ia tidak akan meneruskan rancangan meratifikasi ICERD susulan keberangan kumpulan Melayu. Walaupun pengumuman itu sudah dibuat, kumpulan di sebalik himpunan mega yang pada asalnya bertujuan membantah ICERD, masih mahu meneruskan demonstrasi mereka pada 8 Disember. – 26 November, 2018.
MENYUSUL
Komen