145 paus pandu terdampar di pantai New Zealand


Sekurang-kurangnya 145 paus pandu ditemui terdampar dengan ada yang mati di pantai sebuah pulau terpencil di New Zealand, kata pihak berkuasa. – Gambar fail AFP, 26 November, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 145 paus pandu ditemui terdampar dengan ada yang mati di pantai sebuah pulau terpencil di New Zealand, kata pihak berkuasa.

Seorang pendaki yang berada di Pulau Stewart, kira-kira 30km di bahagian selatan, negara itu menjumpai kumpulan paus pandu itu pada lewat petang Sabtu lalu.

Separuh daripada paus itu sudah mati dan disebabkan lokasi pulau itu yang jauh, agak sukar untuk diakses menyebabkan usaha mengapungkan mamalia itu menemui jalan buntu.

Pihak berkuasa akhirnya memilih untuk mematikan kumpulan haiwan itu.

“Agak menyedihkan kerana peluang untuk mengapungkan paus ini terlalu tipis. Kawasan ini terpencil, kekurangan petugas berhampiran ditambah keadaan paus yang semakin lemah.

“Pilihan yang terbaik ialah mematikan mereka. Ia keputusan yang sukar untuk dibuat,” kata Pengurus Operasi Jabatan Pemuliharaan Pulau Stewart Ren Leppens.

Kumpulan paus itu yang keempat dijumpai di pantai New Zeland hujung minggu lalu.

Kejadian paus terdampar antara perkara yang kerap berlaku di pantai New Zealand, dengan jabatan pemuliharaan mendedahkan secara purata 85 kejadian berlaku setiap tahun. – AFP, 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen