Tikus dalam video belum dipastikan lagi, kata pengarah hospital di Klang


Asila Jalil

Notis penutupan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Selangor kepada operator kantin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). - Gambar The Malaysian Insight, 18 Ogos 2017.

VIDEO yang menjadi viral memaparkan seekor tikus sedang makan di kaunter makanan kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) masih belum dipastikan, kata pengarahnya Dr Ding Lay Ming.

Katanya, sumber rakaman video itu masih lagi belum diketahui, tetapi hospital telah mengarahkan kantin yang dikendalikan operator luar menghentikan operasi sehingga ia dibersihkan.

“Saya tak tahu dari mana ia (video) datang tetapi kami akan mengarahkan mereka (operator kantin) supaya membersihkan kantin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Satu notis penutupan sementara dikeluarkan Kementerian Kesihatan Negeri Selangor kepada kantin terbabit pada jam 2 petang tadi.

Dr Ding mengesahkan yang kantin itu kini ditutup buat sementara waktu untuk pembersihan menyeluruh  dan bukan semata-mata disebabkan kehadiran seekor tikus.

“Kami akan membuat rutin pembersihan kantin. Video ini, saya ambil peluang untuk memastikan operator kantin membersihkan kantin dengan teliti,” tambahnya.

Notis itu menyatakan kantin ditutup sehingga 1 September atas masalah kebersihan.

Video berdurasi 32 saat itu memaparkan seekor tikus sedang makan di atas sekeping kobis di kaunter makanan, yang didakwa dirakam di kantin HTAR.

Bagaimanapun, video terbabit tidak diketahui bila atau di mana ia dirakam. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen