GEMPA bumi 5.7 magnitud melanda pantai barat Taiwan pada Isnin, kata Kajian Geologi AS (USGS), dan gegarannya boleh dirasai sehingga ratusan kilometer jauhnya di Hong Kong.
Gempa melanda sekitar 100 kilometer (60 batu) di pulau Penghu di Selat Taiwan pada pagi Isnin dengan kedalaman 13 kilometer.
Tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan akibat gempa, yang pada awalnya dilaporkan USGS pada skala 5.6 magnitud.
Penduduk di bandar Magong di pulau Penghu berlarian keluar sambil menjerit “gempa bumi” selepas ia melanda, lapor media Taiwan.
Penduduk Hong Kong melaporkan turut merasai gegaran itu, dan menulis mengenainya di media sosial.
“Saya dapat merasainya! Saya sangka saya pening, saya lihat pakaian digantung bergoyang,” kata seorang pengguna Facebook dalam satu kumpulan perbincangan untuk daerah Tai Po di Hong Kong.
Balai Cerap Hong Kong berkata ia menerima hampir 1,000 laporan merasai gempa dalam tempoh beberapa saat.
Anggaran awal memberikan skala IV bagi Modified Mercalli Intensity Scale yang mengatakan objek digantung berbuai, tingkap, pinggan mangkuk, pintu bergetar.
Taiwan terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik dan kerap dilanda gempa bumi.
Pada Februari, bandar Hualien di timur dilanda gempa bumi 6.4 magnitud yang mengorbankan 17 nyawa.
Bencana paling teruk di pulau ini dalam beberapa dekad terbaharu ialah gempa bumi 7.6 magnitud pada September 1999 yang membunuh kira-kira 2,400 orang. – AFP, 26 November, 2018.
Komen