AS tawar ganjaran baharu AS$5 juta untuk tangkap penyerang Mumbai


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menyeru Pakistan membantu sehingga tertangkapnya penyerang Mumbai. – Gambar AFP, 26 November, 2018.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada Ahad mendesak Pakistan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan Mumbai 2008 ketika Washington menawarkan ganjaran baru sebanyak AS$5 juta untuk membantu penangkapan itu.

Pengumuman itu dibuat menjelang ulang tahun ke-10 serangan itu, yang menyebabkan 166 orang mati dan ratusan cedera selepas militan Islam dari Pakistan melepaskan gelombang keganasan di seluruh pusat kewangan dan bandar raya terbesar di India yang berlangsung selama tiga hari.

“Ini adalah penghinaan kepada keluarga mangsa, selepas 10 tahun, mereka yang merancang serangan Mumbai masih belum disabitkan bagi penglibatan mereka,” kata Pompeo dalam satu kenyataan.

“Kami menyeru semua negara, khususnya Pakistan, menegakkan kewajiban Majlis Keselamatan PBB mereka untuk melaksanakan sekatan terhadap pengganas yang bertanggungjawab atas kekejaman ini, termasuk Lashkar-e-Tayyiba dan sekutunya.”

“Kami bersama keluarga dan rakan mangsa, yang kehilangan orang tersayang hilang dalam tindakan tidak bertamadun ini, termasuk enam rakyat Amerika,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Program Ganjaran bagi Keadilan (RFJ) menyatakan ia menawarkan hingga AS$5 juta “bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan atau sabitan di mana-mana negara oleh mana-mana individu yang melakukan, bersekongkol melakukan, atau membantu atau bersekongkol” dalam serangan itu.

Ia adalah ganjaran ketiga ditawarkan oleh AS selepas Jabatan Negara mengumumkan pemberian AS$10 juta bagi pengasas Lashkar-e-Tayyiba (LeT) Hafiz

Mohammad Saeed dan AS$2 juta bagi Hafiz Abdul Rahman Makki, seorang lagi pemimpin kanan kumpulan.

Saeed, yang juga didakwa sebagai pengganas oleh PBB, menafikan penglibatan dalam keganasan dan serangan Mumbai.

Satu parti yang dikaitkan dengan sayap kebajikan LeT bertanding pilihan raya negara Pakistan pada Julai, gagal memenangi sebarang kerusi tetapi berjaya meraih lebih 435,000 undi nasional dan serantau. – AFP, 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen