Rumah 'tempat paling bahaya' bagi wanita


LEBIH separuh daripada wanita yang dibunuh di seluruh dunia tahun lalu dibunuh oleh pasangan atau ahli keluarga mereka, menjadikan rumah sebagai “tempat paling berbahaya bagi seorang wanita,” kata satu kajian baharu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad.

Dalam statistik yang dikeluarkan sempena Hari Penghapusan Keganasan terhadap Wanita Antarabangsa, pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah mengatakan sebanyak 87,000 kes pembunuhan wanita di seluruh dunia pada 2017, kira-kira 50,000 - atau 58% - dilakukan oleh pasangan atau ahli keluarga rapat mangsa.

Sekitar 30,000, atau 34% dilakukan oleh pasangan mereka.

“Ini menjadikan enam wanita dibunuh setiap jam oleh individu dikenali mereka,” kata badan yang berpangkalan di Vienna itu.

Majoriti - sekitar 80% daripada mangsa pembunuhan di seluruh dunia adalah laki-laki, tetapi “wanita terus membayar harga yang tinggi akibat ketidaksaksamaan jantina, diskriminasi dan stereotaip negatif,” kata ketua UNODC Yury Fedotov.

“Mereka juga kebanyakannya dibunuh oleh pasangan dan keluarga rapat… menjadikan rumah tempat paling berbahaya bagi wanita,” katanya.

“Hakikat bahawa wanita terus terkesan dengan jenis keganasan ini kepada tahap lebih tinggi daripada lelaki menunjukkan tanda ketidakseimbangan kuasa hubungan antara wanita dan lelaki di dalam lingkungan domestik.”

UNODC menganggarkan kadar global pembunuhan wanita membabitkan kira-kira 1.3 orang mangsa bagi 100,000 penduduk wanita.

Kajian mendapati Afrika dan Amerika adalah kawasan di mana wanita paling berisiko dibunuh oleh pasangan atau ahli keluarga rapat.

Di Afrika, kadarnya adalah sekitar 3.1 orang mangsa bagi 100,000 penduduk wanita, manakala kadar di benua Amerika adalah 1.6 orang mangsa, di Oceania 1.3 dan di Asia 0.9.

Kadar terendah didapati di Eropah, dengan 0.7 orang mangsa bagi 100,000 penduduk perempuan.

Menurut UNODC, “tiada kemajuan yang ketara” dalam memerangi perkara ini dibuat beberapa tahun kebelakangan “walaupun undang-undang dan program dibangunkan untuk membasmi keganasan terhadap wanita.”

Kesimpulan laporan itu “menegaskan perlunya pencegahan jenayah yang berkesan dan respons kehakiman jenayah terhadap keganasan terhadap wanita,” kata UNODC.
Kajian itu juga menyeru penyelarasan lebih baik antara polis dan sistem keadilan serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.

UNODC juga berkata ia juga penting untuk melibatkan lelaki dalam langkah penyelesaian, termasuk melalui pendidikan awal. – AFP, 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen