GEMPA bumi berkekuatan 6.4 magnitud melanda wilayah barat Iran di Kermanshah lewat Ahad, kata institut geofizik negara itu dengan pegawai tempatan melaporkan kira-kira 260 orang cedera.
Pusat gempa itu berlaku di 17 kilometer barat daya bandar Sarpol-e Zahab dengan kedalaman 7 kilometer.
Sekurang-kurangnya 260 orang cedera di Sarpol-e Zahab dan bandaraya Gilan-e Gharb yang terletak berhampiran sempadan Iraq, kata Gabenor Kermanshah Houshang Bazvand memberitahu stesen televisyen negara.
“Kami tidak mempunyai laporan kematian akibat setakat ini, keadaan terkawal,” kata Bazvand.
“Terdapat pemotongan tenaga dan air di kedua-dua bandar, tetapi ia hanya beberapa minit.”
Ketua perkhidmatan perubatan kecemasan Iran, Pirhossein Kolivand mengatakan dalam komen di televisyen kebanyakan mangsa cedera disebabkan oleh “orang yang panik dan melarikan diri dari rumah mereka”.
Jumlah yang tercedera mungkin meningkat kerana 18 pasukan kecemasan yang dihantar dari wilayah jiran masih menilai kerosakan, katanya.
Penduduk Sarpol-e Zahab, Fariba Babayi menggambarkan ketakutan yang melanda penduduk bandar ketika gempa melanda.
“Lampu terpadam, dinding kelihatan seolah-olah akan jatuh dan semua jiran menjerit,” kata Babayi, 36, kepada AFP melalui telefon.
“Saya tidak lari kali ini, walaupun ibu sudah keluar memanggil saya.”
Mereka yang tinggal di bandar ini sedar dengan akibat malapetaka itu selepas gempa 7.3 magnitud pada November lalu membunuh 620 orang dan mencederakan ribuan lagi.
Kerja membina semula sebahagian rumah Babayi baru sahaja selesai sebulan lalu selepas ia terbakar di dalam gempa itu dan keluarganya masih membayar kos pembinaan.
“Kami tidak boleh kembali kepada kehidupan normal lagi. Terdapat kenangan buruk, trauma yang masih ada,” katanya kepada AFP.
Tiada butiran rasmi mengenai sebarang kerosakan pada bangunan dan infrastruktur selepas gempa bumi terbaharu.
Rantau ini digegarkan tujuh gempa susulan yang lemah sejam selepas gegaran awal, dengan gempa paling kuat pada skala magnitud 5.2, kata institut geofizik.
Terdapat juga laporan yang gempa awal turut dirasai merentasi sempadan di Iraq. – AFP, 26 November, 2018.
Komen