PEMBANGKANG Selangor menyifatkan rancangan negeri untuk mengehadkan bekalan air percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sahaja sebagai pengkhianatan kepada pengundi.
Ketua pembangkang Selangor Rizam Ismail berkata pengundi berkenaan sepatutnya dapat terus menikmati menikmati manfaat dasar itu yang diperkenal sejak 2008.
“Bagi saya ini satu perkara yang mengkhianati rakyat Selangor dan kerajaan negeri telah menipu rakyat.
“Saya rasa kalau mereka (Pakatan Harapan) tidak menang Putrajaya tidak mungkin dasar air percuma ini akan diubah.
“Sejak dulu mereka guna modal ini dalam manifesto iaitu kejayaan memberi air percuma dan kini mereka sendiri kebumikan dasar itu. Ia sekadar janji manis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Adun Sungai Ayer Tawar itu mengulas pengumuman Menteri Besar Amirudin Shari pada Belanjawan Selangor mengenai dasar baharu itu yang akan dilaksana tahun depan.
Menurut Amirudin. ia adalah langkah penjajaran semula program untuk meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Kadar air percuma itu juga dinaikkan daripada 20 meter padu sebulan kepada 25 meter padu bagi isi rumah yang golongan berpendapatan rendah yang berdaftar di bawah program E-Kasih.
Mengulas lanjut, Rizam turut mempersoalkan jaminan kerajaan negeri Selangor untuk memastikan semua golongan berpendapatan rendah menerima manfaat.
“Adakah sasaran ini menyeluruh kerana tidak semua golongan B40 berdaftar dengan E-Kasih. Saya akan bahaskan isu ini di sidang DUN dan kita mahu menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula dasar ini,” katanya lagi.

Seorang lagi wakil rakyat pembangkang, Imran Tamrin mencadangkan agar satu mekanisme yang efektif digunakan untuk memastikan tiada golongan B40 tercicir.
Beliau berpendapat, pelaksanaan dasar baharu itu terburu-buru kerana kerajaan tidak mengemukakan sebarang kajian atau statistik kukuh mengenai penerima manfaat.
“Kerajaan Selangor mengadakan dasar subsidi bersasar dan mahu membuat penjimatan, tetapi kena faham contohnya di DUN saya, Sungai Panjang, ada rumah yang penamanya sudah meninggal dan waris yang tinggal di rumah. Jadi bagaimana?
“Macam mana si mati mahu daftar E-Kasih dan sejauh mana mereka akan kemas kini maklumat? Mekanisme yang tidak sistematik ini akan menyebabkan ada yang tertinggal,” kata peguam itu kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan kemenangan Pakatan Harapan juga (PH) disebabkan janji-janji manis parti itu, termasuk untuk membekalkan air percuma.
“Air percuma juga manifesto yang menyumbang kepada kemenangan PH kerana rakyat rasa manfaat.
“Isu khianat pengundi ini memang sudah terpalit dengan PH, mereka hanya memberi harapan dan janji manis,” katanya lagi.
Kerajaan Selangor mengumumkan akan dapat menjimatkan RM105.2 juta dengan peruntukan baharu untuk air percuma sebanyak RM80 dengan jajaran baharu itu. – 26 November, 2018.
Komen