PENDUDUK Myanmar di Rakhine mengadakan bantahan terhadap usaha membawa pulang etnik Islam Rohingya dari Bangladesh yang dilabel sebagai ‘pelarian yang mahu melarikan diri’.
Kira-kira 100 orang diketuai oleh sami Buddha berarak di ibu negeri Switte dengan memegang sepanduk berwarna merah sambil melaungkan slogan.
“Semua pihak di negara ini bertanggungjawab melindungi keselamatan negara,” kata seorang sami dipetik menerusi siaran langsung dalam Facebook.
“Tiada manfaat buat negara jika kita menerima Bengali,” katanya merujuk kepada etnik Rohingya yang dikatakan berhijrah dari Bangladesh.
Demonstrasi itu dibuat 10 hari selepas Bangladesh dan Myanmar sepatutnya sudah memulakan proses menghantar pulang etnik Rohingya ke Rakhine.
Masyarakat minoriti itu melarikan diri ke negara jiran selepas operasi tentera pada Ogos 2017.
Pelarian Rohingya di Bangladesh berkata tentera Myanmar merogol, membunuh ahli keluarga mereka dan membakar rumah mereka bagi mengusir dari negara tersebut.
Persetujuan untuk membenarkan etnik itu pulang ke Myanmar dicapai pada tahun lalu tetapi mereka bimbang Yangon enggan memberi taraf kerakyatan, keselamatan dan layanan adil kepada mereka.
Mereka juga bimbang terhadap penerimaan penduduk bukan Islam di Rakhine yang tidak mahu golongan itu kembali ke negara tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa pemimpin tentera yang dipercayai terlibat dalam jenayah ke atas Rohingya diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.
Namun Myanmar menafikan tuduhan itu dan berkata mereka mempertahankan negara daripada ancaman militan Rohingya.
Bantahan terhadap Rohingya bukan perkara baharu di Sittwe apabila keganasan pernah tercetus pada 2012 yang menyaksikan ratusan orang maut dan memaksa lebih 120,000 etnik itu dihantar ke kem perlindungan yang masih wujud sehingga hari ini. – AFP, 25 November, 2018.
Komen