ANGKA kematian akibat kebakaran hutan di utara California meningkat kepada 87 orang, kata pihak berkuasa tempatan.
Jabatan bomba dalam kenyataannya berkata kebakaran yang bermula pada 8 November itu sudah hampir berjaya dikawal dengan 98% api dipadamkan.
Bagaimanapun 249 mangsa masih dilaporkan hilang, dan angka itu menurun berbanding 474 orang yang dipercayai hilang dalam kebakaran tersebut.
Setakat ini, sebanyak 54 mangsa yang terbunuh telah dikenalpasti.
Lebih 153,000 ekar kawasan hutan dan hampir 14,000 buah rumah musnah dalam kebakaran besar itu yang disifatkan paling teruk berlaku di California.
Hujan yang turun sejak beberapa hari lalu membantu memadamkan api, tetapi menyukarkan pihak berkuasa untuk mencari mayat mangsa.
Angka kematian sebelum ini mencatatkan 84 kematian.– AFP, 25 November, 2018.
Komen