KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Kinshasa berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemungkinan “ancaman pengganas” di bangunan itu di Republik Demokratik Congo (DRC).
Menjelang pilihan raya penting yang bakal berlangsung empat minggu lagi di negara Afrika tengah yang bergolak itu, pihak berkuasa AS menasihati warganya untuk tidak terlalu menonjol dan kedutaan akan ditutup esok.
“Kedutaan AS di Kinshasa menerima maklumat yang boleh dipercayai mengenai kemungkinan ancaman pengganas terhadap kemudahan kerajaan AS di Kinshasa,” kata kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi semalam.
“Rakyat AS di Kinshasa dan seluruh DRC dinasihatkan untuk lebih berjaga-jaga dan peka dengan perkembangan semasa. Pantau media setempat untuk maklumat terkini.”
DRC akan memulakan kempen pilihan raya penting negara itu Rabu ini, selepas dua tahun terbengkalai.
Pada 23 Disember, pengundi akan memilih pengganti kepada pemimpin sementara, Presiden Joseph Kabila yang kekal memerintah walaupun penggal keduanya berakhir dua tahun lalu.
Amerika Syarikat menyeru negara Afrika itu untuk merebut peluang bersejarah ini dengan mengadakan pilihan yang boleh dipercayai dan dapat mengurangkan masalah kemanusiaan serta meningkatkan kestabilan. – AFP, 25 November, 2018.
Komen