Kerajaan tak jadi ratifikasi sebab demo 8 Disember, kata Umno


Nabihah Hamid

Ahli Majlis Tertinggi Umno ambry Abdul Kadir (kanan) dan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi (kiri) hadir pada Kongres Tolak ICERD di PWTC Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 November, 2018.

UMNO percaya rancangannya untuk berdemonstrasi bersama PAS pada 8 Disember menyebabkan kerajaan tidak jadi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi percaya ia merupakan sebab yang mendorong kerajaan tidak meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira sambutan membara dalam kalangan rakyat untuk keluar beramai-ramai pada 8 Disember nanti, demi menyatakan hasrat murni menolak pendirian kerajaan yang telah diumumkan oleh menteri sebelum ini,” kata Zahid.

Dalam ucapan bersama penyokong PAS dan Umno di Kuala Lumpur hari ini, beliau turut menyatakan penghargaan keada kerajaan atas “pendirian yang selari dengan kehendak majoriti rakyat.”

Beliau mengulas penjelasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada malam tadi yang menyebut, kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD setelah mengambil kira bantahan rakyat umum.

Ucapan Zahid dibacakan ahli majlis tertinggi Umno, Zambry Abd Kadir di Kongres Tolak ICERD di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.

Walau konvensyen itu tidak akan disahkan, PAS dan Umno bagaimanapun akan tetap berhimpun pada 8 Disember bagi menyatakan pendirian dan meraikan kejayaan.

Pemimpin PAS Nasrudin Hassan dalam acara sama di PWTC berkata perhimpunan itu perlu diteruskan agar kerajaan tidak mengambil mudah isu agama dan bangsa. 

“Saya setuju himpunan ini kita teruskan sebagai amaran tegas kepada kerajaan jangan sekali-kali mereka mainkan isu ini. Merambak sentimen agama, perkauman dan sebagainya. 

“Kalau ICERD ini tak ikat negara kenapa mereka (kerajaan) tak sabar-sabar sangat,” soalnya. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen